"Everyday is a brand new start"

17 March 2014

Super Ladies


Bolehkah wanita Bekerja?

Dr Yusuf Al Qardhawi menjelaskan di dalam kitab “Markaz al Mar’ah fi al hayat al Islamiah” bahawa syariat mengharuskan wanita bekerja. Tiada nas yang secara jelas mengatakan haram, dan ‘asal kepada sesuatu dan perbuatan adalah harus’ seperti yang kita maklum. Bagaimanapun, bekerja dituntut apabila adanya keperluan seperti membantu suami, memberi pendidikan kepada anak-anak, adik-adik atau membantu ibu bapa yang sudah tua.

Tidak dinafikan masyarakat juga memerlukan kaum wanita dalam bidang perubatan, pendidikan dan sebagainya. Adalah lebih utama bagi wanita untuk bekerja bersama wanita, namun dibolehkan bekerja dengan kaum lelaki dalam beberapa keadaan yang adanya keperluan dengan sekadarnya.

Syarat Wanita Bekerja

Prof Dr Md Uqlah Al-Ibrahim dalam “Nizam Al-Usrah” (zaharuddin.net) menyebut antara syarat wanita bekerja adalah:

1) Adanya keperluan.
2) Kerja mestilah sesuai dengan fitrah.
3) Mestilah menutup aurat.
4) Mestilah kerjanya tidak memerlukannya berdua-duaan atau bercampur baur dengan lelaki.
5) Mendapat izin suami atau wali.
6) Mestilah kerjanya tidak menyebabkan terhenti tanggungjawab di rumah.
7) Tujuan bekerja bukanlah kerana keghairahan mengumpul harta.
8) Mestilah berhenti sekiranya terdapat keperluan dalam pendidikan anak-anak.
9) Digalakkan bekerja dalam tempoh tertentu sahaja bukan selama-lamanya sejurus suami mempunyai kemampuan; kecuali jika mempunyai kualiti yang amat diperlukan masyarakat umum.

Dikatakan bahawa fitrah wanita menuntut perhatian mereka untuk keluarga. Silibus kejayaan wanita adalah dalam bidang ini kerana wanita adalah madrasah penentu kejayaan generasi. Lihat sahaja siapa tulang belakang hebatnya seorang Syed Qutb dan Hasan al Banna; tidak lain adalah seorang wanita (ibu).

Sebuah Pesanan

Bagi wanita bekerja yang sudah bersuami, saya ingin menggariskan beberapa pesanan dari Ustazah Norhafizah Musa.

Suami memainkan peranan penting untuk melihat suasana tempat isteri bekerja khususnya dari sudut percampuran lelaki perempuan. Hal ini supaya dapat menjaga ‘iffah (kehormatan) wanita.

Oleh itu, kita sebagai wanita sangat disarankan mengamalkan doa yang dilantunkan Nabi saw berbunyi:

اللّهم إني أسئلك الهدى والتقى والعفاف والغنى

Ya Allah, aku mohon petunjuk, kemampuan menjaga kehormatan diri dan kecukupan rezeki.

Selain itu, wanita yang bekerja harus kreatif dalam menyusun keutamaan. Contohnya bagaimana untuk menjadikan pertemuan yang sedikit tetapi bermakna dan nilai yang ada di rumah bersama suami dan anak-anak lebih baik.

Adalah sangat penting untuk menjadikan persekitaran rumahtangga jauh lebih baik dari persekitaran suami bekerja atau persekitaran anak-anak di luar rumah. Di sinilah wujudnya kepentingan nilai qurratu a’yun.

Saya sendiri terinspirasi dengan firman Allah dalam surah Muhammad ayat 7 maksudnya:
Wahai orang-orang beriman, kalau kamu membela agama Allah, nescaya Allah akan membela kamu dan meneguhkan kedudukanmu.”

Allah mengetahui niat dan apa yang ada dalam hati kita. Jika kita mempunyai niat yang baik untuk agama, masyarakat dan pembangunan ummah, inshaAllah Allah akan membantu menguruskan hidup kita. Kita sendiri tidak akan mampu menjaga diri kita kerana Allah lah penjaga yang terbaik. Mohonlah pemeliharaan dan petunjukNya.

Pengalaman baru

Alhamdulillah. Allah memberi saya peluang bekerja dengan pasangan yang saya kagumi; Ustazah Fatimah Syarha dan Dr Farhan Hadi. Bagi saya, pasangan ini cukup jelas misi dan haluan perkahwinan mereka. Kata Ustazah, ‘Sebarkan Bahagia Resources’ yang mereka wujudkan adalah untuk membantu agama dan masyarakat. Selain membuka peluang pekerjaan, syarikat ini bertujuan memberi pendidikan Al-Quran khusus untuk anak-anak kecil dan mengajarkan penulisan berteraskan syariat.

Apabila suami isteri yang sedar potensi mereka memperjuangkan agama Allah melakukan pekerjaan bersama, maka akan terserlah kekuatannya. Ini hanya sekadar pemerhatian saya.

Konklusi

Saya masih ingat pesan seorang teman; “Kita ni orang perempuan, bila dah belajar tinggi-tinggi sepatutnya mampu didik anak-anak jadi orang lebih hebat.


Inilah cabaran untuk jadi Super Ladies!
Share:

0 comments:

Post a Comment

UmmuZayd

UmmuZayd
"UmmuZayd"
Inspirasi dari surah Al-Ahzab ayat 37
Zayd; nama yang pernah bersatu dengan patah perkataan Al-Quran
Zayd; nama yang terus kekal dituturkan makhluk yang membaca Al-Quran
Aku ingin menjadi Ummu Zayd
Ibu kepada insan-insan mulia ahlul Quran

Amin Ya Rabb

*Blog Ummuzayds telah bermula pada tahun 2009, dengan nama nursrikandislam, heartofsrikandi dan terkini lebih matang, ummuzayds. Enjoy your reading! ;)

Popular Posts

"umi, kami selongkar dunia maya
dan temukan catatan umi di sana"

-Anak-Anak UmmuZayd-

"Cita-cita ku adalah menginspirasi jutaan orang
meski mereka tak mengenalku,
biarlah Allah yang menilai kerja-kerjaku"

Categories