"Everyday is a brand new start"

25 June 2014

#Sayonara Melbourne! [LAST EPISODE]

#Catatan ini bersambung. Scroll dari #Salam Melbourne 1

“Ya Tuhanku berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapaku dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai. Dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh.” (Surah an-Naml:19)
Maka, berakhirlah catatan Salam Melbourne sebanyak 8 episod.

Alhamdulillah, impian yang saya tuliskan di awal tahun 2014 menjadi kenyataan, dengan izin-Nya.

Sesungguhnya segalanya perancangan Allah. Bila difikirkan, saya belum cukup kemampuan untuk melancong ke luar negara. Lebih-lebih lagi, di negara yang mata wangnya lebih tinggi. 

Ini membuktikan, jangan pandang remeh kepada mimpi dan impian. Berdoalah, berusahalah dan yakin pada Allah.
“Dan bermimpi saja tidak akan pernah cukup...Dan sebuah impian memang seharusnya tidak perlu terlalu banyak dibicarakan,tetapi diperjuangkan.” 

-Filem 5cm-
Bersyukur kepada Allah atas permusafiran ini yang benar-benar membuka minda. Catatan demi catatan saya tuliskan agar ia tak menjadi pengembaraan sia-sia dan dilupakan begitu sahaja. Saya tak pandai bercerita, mudah-mudahan perkongsian ini memberi manfaat kepada generasi dan Allah meredhai.

Saya ingin bermusafir lagi ke negara lain jika diizinkan Allah. Melihat alam, merasai, memerhati kehidupan dan merenung kembali pandangan yang diberikan dan diri yang menuju Tuhan.

Melbourne yang cantik, selamat tinggal dan jumpa lagi!

The End.
Share:

#Salam Melbourne 8


"Dijadikan untukku bumi sebagai tempat bersujud; ia suci, alat bersuci yang mensucikan" (Muttafaq 'Alaih)


National Rhododendron Garden
Saya tak pernah mengembara ke negara barat sebelum ini, jadi inilah kali pertama yang banyak mengajar saya sesuatu yang baru. Di manapun kita berpijak, ia tetap milik Allah. Solat yang kita lakukan bukan sekadar tanggungjawab sebagai hamba, tapi juga sebagai dakwah. Biarkan seisi dunia melihat dan jangan malu menunjukkan keizzahan Islam. Siapa tahu ada yang jatuh cinta dengan keindahannya!

Ada satu cerita tentang seorang wanita Inggeris yang meminta derma di shopping complex. Dia pergi ke seorang demi seorang untuk meminta wang derma buat pelajaran anak-anak kulit hitam di sebuah daerah. Tiada seorang pun yang menghiraukannya sehingga dia terduduk kepenatan. Akhirnya, datang seorang wanita berhijab meletakkan wang di dalam tabung. Wanita Inggeris itu tersenyum dan sangat menghargai. Ya, halnya nampak remeh tapi wanita berhijab itu sebenarnya sedang meninggikan nama Islam. Subhanallah.
"Agama Islam telah bermula dalam keadaan asing dan ia akan kembali seperti mana ketika ia bermula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing (Al-Ghurabaa’).” (Hadis Riwayat Muslim)
Skydeck; Menara untuk melihat Melbourne dari tingkat 88
Ada juga 'mangga' begini di Yarra River
Botanical Garden berdekatan Shrine of Remembrance



Mount Dandenong dan Rhododendron Park

Jika berminat ke Melbourne, saya cadangkan lawatilah gardens dan mounts di sini. Melbourne kaya dengan bukit-bukau untuk pelancong datang melawat dan melihat city of Melbourne dari atas termasuk kawasan bersalji. Garden pula sangat cantik terutamanya ketika spring. Oleh sebab kami datang ketika winter, jadi bunga berwarna-warni tidak muncul.


Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal 
[Ali'Imran 3:190]


 To be continued....
Share:

#Salam Melbourne 7



Hari seterusnya, saya dan mak berjalan-jalan di kawasan perumahan sekitar Clayton sambil menghirup udara sejuk menggigil di petang hari. Saya suka dengan keindahan pokok-pokok yang dikekalkan menjadi pagar rumah dan adanya sistem tong sampah yang teratur menjadikan kawasan sangat bersih. Apabila berjalan-jalan, ada sahaja yang menegur "hi" atau "helo" sambil tersenyum.



Ini adalah rumah orang-orang tua di Clayton. Ia besar dan cantik. Diceritakan, orang-orang tua di sini sanggup menyimpan wang untuk masuk ke rumah ini kerana di sini lengkap dan ramai teman. Masuk ke sini tak bererti anak-anak tak menghiraukan, bahkan mereka dilihat penuh dengan kasih sayang. Tambahan pula, kaum tua di sini sangat aktif dengan aktiviti dan suka berjalan-jalan. Mungkin telah jadi kebiasaan di masa muda. Teringat kata-kata ustaz Hasrizal;
"Mereka yang mencari banyak pengalaman di usia muda tidak akan menjadi orang tua yang membosankan."


Alhamdulillah..Universiti Monash tempat Along mengadap phD nya sangat dekat dengan rumah kami. Jadi, inilah kesempatan saya untuk 'mentadabburi' universiti tersebut. Saya kagum dengan tempat itu meskipun kurang 'warna' nya kerana hanya ada hitam, kelabu dan putih tak seperti UIAM. Saya cuba membanding-bandingkan universiti di sini dan Malaysia. Tak jauh bezanya. Universiti 'kita' tak kurang hebatnya. 




Surau memang susah dijumpai di Melbourne dan di Monash, surau terletak sebumbung dengan church dan tempat ibadat lain dengan nama Religious Centre. Di surau inilah, program-program kerohanian dipromosikan untuk pelajar beragama Islam. Makanan halal pula ada dijual di centre tetapi sangat terhad dan harganya agak mahal. Jadi, kebanyakan pelajar muslim lebih memilih memasak sendiri dan membawa bekal. That's why they are master in cooking!

“Please be a traveler, not a tourist. Try new things, meet new people, and look beyond what’s right in front of you. Those are the keys to understanding this amazing world we live in.” Andrew Zimmern


To be continued....


Share:

24 June 2014

#Salam Melbourne 6

.... sambungan episod sejarah


Hadapan Shrine Of Remembrance

Awal ketibaan saya di Shrine of Remembrance, saya sangat seronok dapat melihat tugu-tugu menarik yang tiada di Malaysia. Tiba-tiba Along membuka cerita dan kemudian saya membuat sedikit research. Mood saya bertukar. Di sebalik tugu peringatan ini terselit sebuah kisah duka umat Islam.

Shrine of Remembrance. Tugu ini adalah untuk memperingati pengorbanan tentera ANZAC yang berjuang di merata dunia. Tanggal 25 April setiap tahun adalah merupakan cuti umum bagi Australia dan New Zealand menyambut ANZAC Day. 

ANZAC ialah tentera dari Afrika Selatan, Australia dan New Zealand. Tentera ANZAC dihantar ke beberapa tempat di seluruh benua Eropah. Di antaranya, mereka dihantar ke Gallipoli, sebuah pantai di barat Turki.

Ada tugu Memperingati Gallipoli
Peperangan di Gallipoli menyaksikan kekalahan besar tentera British, ANZAC dan Perancis menentang tentera Turki Uthmaniyyah. Setelah beberapa bulan tersangkut di Gallipoli, tentera bersekutu ini terpaksa berundur. Dianggarkan jumlah korban mencapai ratusan ribu.

Pada tahun 1924, Mustapha Kamal Attarturk yang terkenal di kalangan rakyat atas kejayaannya mengalahkan tentera musuh di Gallipoli dilantik untuk menggantikan khalifah yang lemah. Bersempena pelantikannya, Mustapha Kamal Attarturk mengumumkan penubuhan Republik Turki dan khilafah Islam dibubarkan. Beliau sendiri dipilih sebagai Presiden Pertama Republik Turki. Setelah lebih daripada 600 tahun mengetuai umat Islam di serata dunia, empayar Turki Uthmaniyyah hancur di atas tangan Mustapha Kamal Attaturk.

Pasal Malaya saya tak pasti cerita di sebaliknya.

Peperangan di Gallipoli sebenarnya tanpa disedari oleh umat Islam adalah suatu perangkap. Tentera Turki di Gallipoli telah diketuai oleh Mustapha Kamal Attarturk dan kemenangan di Gallipoli menaikkan nama beliau di mata rakyat. Peperangan lain yang tidak diketuai oleh Mustapha Kamal attarturk pasti akan mengalami kekalahan yang besar dan hanya beliau yang mampu memberikan kemenangan kepada kerajaan Turki Uthmaniyyah. Musuh Islam telah berjaya menipu umat Islam dengan licik sekali.

Kata Along, jika Mustafa Kamal Attarturk adalah hero umat Islam, mengapa tugunya dibina di Adelaide? 

Shrine of Remembrance sebenarnya merupakan kisah kejatuhan khilafah Islam. Kisah perpecahan umat Islam dan kisah kehilangan empayar Islam.


Senyum bertukar sayu.


Sejarah silam menimbulkan persoalan.


Bilakah khilafah Islam kan kembali gemilang??


Pergilah untuk kembali, mengembaralah untuk menemukan jalan pulang. Sejauh apa pun kakimu melangkah, engkau pasti akan kembali ke titik awal.

To be continued...



Share:

#Salam Melbourne 5

"Along, nanti Ju nak pergi Muzium"

Saya telah request awal-awal lagi kepada Along untuk melawat Muzium Melbourne. Kata orang, muzium itu sangat awesome. Bertambah lagilah semangat saya mahu ke sana.

Permintaan saya disambut baik meskipun orang-orang agak bosan jika mendengar tentang muzium. "99 Cahaya di Langit Eropa" banyak menginspirasi pengembaraan saya kali ini.

Kata Fatma;
“Sekarang ini anak-anak makin melupakan sejarah agama. Aku ingin suatu saat nanti, dari awal kedatangan di dunia ini seluruh anak muslim tahu, tiada kebanggaan yang bererti kecuali menjadi muslim. Aku ingin mereka lahir sebagai muslim karena mereka memahami, meresapi, mengenal, menyentuh, merasakan, dan mencintai Islam, bukan karena paksaan orang lain. Dan aku ingin mereka tahu bahwa dalam setiap waktu, dalam masa depan mereka, mereka akan menemui orang-orang yang berbeda dalam hal kepercayaan, bahasa dan bangsa. Aku akan mengajarkan pada mereka bahwa perbedaan terjadi bukan karena Tuhan tidak bisa menjadikan kita tercipta sama. Menciptakan manusia homogen itu bukan perkara sulit untuk-Nya. Itu semua terjadi karena Tuhan Mahatahu, jika kita semua sama, tidak ada algi keindahan hidup bagi manusia. Jadi nikmatilah perbedaan itu”




Hadapan Royal Exhibition


Saya ingin kenal sejarah Melbourne dan siapa masyarakatnya. Saya percaya, di sini saya akan lebih mengerti dan memahami. Saya ke beberapa part; haiwan-haiwan Melbourne, sejarah asal usul dan teori-teori penciptaan termasuk teori Charles Darwin. Alhamdulillah, bersyukur dilahirkan sebagai muslim kerana Allah telah menceritakan segalanya tentang asal usul kita dalam ayat-ayatNya.


Rakyat di Melbourne suka membaca. Mereka akan membaca di dalam train biarpun di dalamnya sangat sesak dengan orang-orang. Saya sempat singgah di dalam State Library yang menyerupai library Oxford. Masyarakatnya sangat khusyuk dengan dunia masing-masing. Library di tengah-tengah bandar adalah cadangan yang bagus untuk menggalakkan masyarakat membaca termasuk kanak-kanak. Di sini turut disediakan ruangan bacaan kanak-kanak.


Everybody's looking for a something

One thing that makes it all complete


You'll find it in the strangest places


Places you never knew it could be


-flying without wings-



To be continued....


Share:

19 June 2014

#Salam Melbourne 4

Housemates Along & family
Selepas dibawa berjalan-jalan di sekitar Eropah, Syeikh Mohammad Abduh berkata:
رأيت الاسلام و لم ار المسلمين ورأيت المسلمين ولم ار الاسلام
“Aku melihat Islam (di Eropah), tapi tidak melihat Muslim.  Dan aku melihat Muslim (di Mesir/negara Arab) tetapi aku tidak melihat Islam”.
Mungkin ada yang menafikan, tapi ada juga yang membenarkan. Kata-kata ini ada benarnya. Saya melihat Islam di sini, Islam pada adab dan akhlak yang baik sebagaimana yang dituntut agama. Pada caranya meminta maaf kerana membuat kesalahan kecil, pada disiplin kepada peraturan, pada menghargai masa dan kebersihan. Sayangnya, mereka tidak mengecapi nikmat iman dan islam. Mudah-mudahan mereka diberi hidayah dan petunjuk oleh Allah.

****************************
Saya berkenalan dengan teman-teman Along yang kebanyakannya dari Malaysia dan juga mengambil phD di bumi Aussie ini. Mereka sangat baik menyambut kami sekeluarga. Ada juga yang sudah bekerja sebagai doktor sakit puan dan ortopedik. Mereka ini paling lama tinggal di sini dan begitu fasih berbahasa English Australia.
Ini sedikit sebanyak memberi gambaran kepada saya tentang suasana belajar di negara orang. Pertama sekali yang perlu kita lakukan, cari sahabat yang baik. Belajar di luar negara mendidik kita untuk belajar berdikari, memahami budaya setempat dan pemikiran lebih terbuka. InshaAllah, doakan saya dapat menyambung phD di luar negara nanti. Amin ya Rabb!



Tentang makanan halal, kami tak terlalu runsing kerana tour guide kami suka memasak dan tahu mana restoran yang halal dan tidak di sini. Tapi, saya tetap merindui makanan melayu di Malaysia! Huhu

Makanan Tibet




Makanan Lebanon


Makanan Mexico


Makanan Indonesia. Wah, ada teh tarik! ^^

To be continued.....


Share:

18 June 2014

#Salam Melbourne 3


Tidak seperti kebiasaannya, hari seterusnya kami menaiki train ke Melbourne Central dari Huntingdale. Trainnya tak banyak beza dengan KTM, LRT dan Monorel di Malaysia, melainkan sangat menepati masa dan adanya mesin top-up kad automatik yang lebih mudah. Tarbiyah train!

Di tengah bandar Melbourne
Menaiki tram City Circle di tengah-tengah bandar Melbourne lebih asyik kerana FREE dan dapat melihat ragam manusia yang pelbagai dan bangunan yang beraneka bentuk. Di sana, saya boleh katakan majoriti mereka berjalan sangat pantas seperti mengejar sesuatu. Di escalator contohnya, jika kita berniat mahu berjalan lambat sila ke sebelah kiri. 

Di tempat shopping pelancong. Di sana murah-murah, tapi bila ditukar
ke mata wang Malaysia, pergh!
Selain shopping di bandar Melbourne, saya suka berjalan kaki di sini kerana akan bertemu dengan Victoria Library (library besar ala-ala cerita Harry Potter) dan Flinders Street Station; pusat utama hentian kereta api dan kawasan paling sibuk di Melbourne.  Ia adalah stesen kereta api yang tertua di Melbourne dan ia antik! 





Berhadapan dengan Flinders Street terdapat Pusat Informasi yang sebenarnya berhadapan dengan Federation Square. Federation Square berbentuk pelik dan sangat "happening". Ketika kami sampai, kelihatan badut sedang membuat persembahan. 

Federation Square dan badut


Hadapan Flinders Street



Apabila berada di negara minoriti muslim, kita akan mudah mesra apabila berjumpa dengan sahabat muslim. Selalunya, mereka yang memberi salam dulu dan tersenyum. Keadaan ini biasa di shopping complex dan restoran makanan halal. Jangan malu untuk berkopiah dan bertudung di sini, kerana masyarakat di sini sangat menghormati kita.Tugas kita adalah menunjukkan akhlak yang baik. Saya pernah juga bertemu dengan orang 'kurang sihat' di sini, Saya ingat dia normal, tapi kerana berperangai pelik saya lari. Orang 'kurang sihat' Melbourne ini, smart juga ya! Hehe

Saya kembali mengingati bait-bait dalam '99 cahaya di Langit Eropa', kata Hanum Salsabiela'

“Pergilah, Jelajahi dunia, lihatlah dan carilah kebenaran dan rahasia-rahasia hidup; niscaya jalan apa pun yang kaupilih akan mengantarkanmu menuju titik awal. 

Sumber Kebenaran dan Rahasia hidup akan kau temukan di titik no 1 perjalananmu. 


Perjalanan panjangmu tidak akan mengantarkanmu ke ujung jalan, justru akan membawamu ke titik permulaan. 

Pergilah untuk kembali, mengembaralah untuk menemukan jalan pulang. Sejauh apa pun kakimu melangkah, engkau pasti akan kembali ke titik awal.”

Biar di manapun kita mengembara, kita harus cuba mencari jawapan kepada persoalan kehidupan.

Jadi, travel ini bukan main-main, tapi sebuah pencarian!

To be continued...
Share:

17 June 2014

#Salam Melbourne 2

Pemandangan Philip Island
Iaitu orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri dan duduk, dan dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi sambil berkata: "Ya Tuhan kami, Engkau tidak menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau! Maka peliharalah kami dari siksa neraka." (Ali-Imran :191)
Subhanallah.Subhanallah.Subhanallah.

Tak terhenti ucapan ini disebut sepanjang perjalanan ke Philip Island, sebuah pulau di Victoria Australia. Bermula dengan padang rumput yang luas kehijauan dan kelihatan lembu pelbagai warna yang sihat-sihat, biri-biri dan kuda. Pemandangan bukit bukau juga pasti membuat kita terpukau. Terlintas di fikiran, jika ini sudah dikatakan sangat indah di dunia, apatah lagi keindahan syurga yang tak terjangkau pemikiran manusia? Subhanallah.

Untuk ke Philip Island, kami harus melintasi sebuah jambatan tembok yang menghubungkan pulau ini dari San Remo (nama spagetti kita), sebuah kota kecil tempat kami singgah untuk merasa fish & chips yang sangat sedap!




Kami solat berlantaikan rumput hijau di luar bangunan Information Centre dan seterusnya ke Phillip Island Chocolate Factory, betul-betul di hadapan Information Centre. Kalau berminat, mereka ada menyediakan tour untuk melihat bagaimana coklat dihasilkan. Coklat mereka semuanya sedap tapi agak mahal. 


Destinasi seterusnya... Phillip Island Wildlife Park! Memang tempat yang ditunggu-tunggu untuk orang yang excited macam saya untuk jumpa kangaroo, haiwan paling famous di Australia. Di sini terdapat 100 jenis spesis haiwan Australia seperti kangaroo, wallaby, emu, koala dan macam-macam lagi. 


Oh, disebabkan koala semuanya sedang tidur, jadi kami beri makan pada wallaby dan kangaroo. Pertama kali dipertemukan dengan kangaroo, wah memang besar kangaroo rupanya! Mereka akan datang beramai-ramai ke arah sesiapa yang membawa plastik makanan. Oleh sebab saya memang tak berani sangat dengan kucing, jadi begitulah juga dengan kangaroo.  2 ekor kanggaroo datang dan terus merampas plastik makanan saya!




Selepas tu, kami ke Nobbies Centre yang berdekatan dengan Penguin Parade. Di sinilah tempat wajib pelancong kalau ke Philip Island. Pengalaman melihat hamparan indah Southern Ocean dengan pulau-pulau kecil dihadapan mata, subhanallah..sukar untuk saya gambarkan di sini. Allah menjadikan alam ini dengan begitu cantik. 


Cuaca di sini paling sejuk berbanding di tempat lain ditambah dengan angin laut. Jadi, sesiapa yang tak tahan sejuk akan sukar untuk ke tempat puncak bagi melihat pemandangan batuan karang yang membentuk dengan indah setelah terus menerus dihempas air laut yang membuat kita sangat terpesona.





Kami picnic di sini. Oleh sebab kami pergi ketika hampir senja, dan waktu itu penguin akan pulang ke tempat asal jadi kami diminta pulang segera. Saya sangat suka cara security guard di sini. Beliau datang dekat ke arah kami dan berborak dengan senyuman. Akhirnya, baru beliau meminta kami pulang. Caranya santai dan tidak seakan mengarah. We love it!


Waktu siang di Australia sangat pendek. Jam 5 petang sudah masuk waktu maghrib dan gelap. Kami sempat singgah solat di Hallam Mosque. Masjid pertama yang saya lihat di Melbourne. Setelah selesai solat, barulah saya tahu di sini azan tidak dibenarkan kedengaran di luar masjid. Sayu saya mendengar azan dilaungkan di dalam masjid. Teringat sejarah Turki suatu ketika dulu.
Wahai anakku! dunia ini bagaikan samudera tempat banyak ciptaan-ciptaanNya yang tenggelam. Maka jelajahilah dunia ini dengan menyebut nama Allah. 
Jadikan ketakutanmu pada Allah sebagai kapal-kapal yang menyelamatkanmu. Kembangkanlah keimanan sebagai layarmu, logika sebagai pendayung kapalmu, ilmu pengetahuan sebagai nakhoda perjalannanmu dan sabar sebagai jangkar dalam setiap badai dan cobaan 
(Ali bin Abi thalib ra)” 

To be continued...


Share:

16 June 2014

#Salam Melbourne 1

12062014

Hari ini berangkat ke Melbourne; sebuah ibu kota negara bahagian Victoria di Australia. Kali kedua saya mengembara di luar Malaysia selepas Acheh Indonesia. 

Rindu sudah untuk berada di atas awan, melihat gumpalan awan seperti lautan. Sesekali terasa gegaran kapal terbang di udara. Hujan turut mengiringi perjalanan membasahi malam Jumaat, malam nisfu Syaaban. Doa-doa dilantunkan, semoga Allah memakbulkan.
Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada". (Surah Al-Hajj: 46).


Di Lapangan Terbang Melbourne. Sejuk sampai ke tulang.
Walaupun hidup ini sebuah kembara,insan disuruh pula mengembara  melihat alam ciptaan Allah. Mengambil iktibar dari pelbagai peristiwa dan kejadian. Allah banyak menyebut di dalam Al-Quran; "Berjalanlah kamu di bumi" dan "Tidakkah kamu lihat?".
Suhu di Melbourne jauh lebih sejuk berbanding Malaysia sehingga ke 7 darjah celcius. Keluar dari airport dengan badan terketar-ketar menahan kesejukan, mungkin kerana belum biasa dengan udara sesejuk ini. Alhamdulillah urusan imegresen dimudahkan Allah. Tak dinafikan, pihak imegresen Australia agak strict.

Along menjemput di airport dan kami terus dibawa ke rumah sewa mereka di kawasan pedalaman Stockdale Avenue di kawasan Clayton. Jalanraya di Melbourne cantik meskipun terdapat graffiti di merata tempat. Pemandunya sangat berdisiplin mengikut had laju yang ditetapkan. Memandu 80 km sejam di lebuhraya sudah jadi kebiasaan rakyat Melbourne. Barangkali kerana peraturan jalanraya yang agak ketat. 

Rumah-rumah tersusun rapi, dengan bentuk yang lebih kurang sama tetapi kemas. Kata Along, semakin dekat rumah dengan universiti semakin tinggi harga sewanya. 

Destinasi pertama kami di Brighton Beach; pantai yang dibanjiri pelancong terutamanya apabila tiba summer. Tarikan Brighton Beach terletak pada pasir pantainya yang berwarna kuning keemasan dan air laut yang kelihatan sangat tenang. Uniknya di pinggiran pantai ini, terdapat berpuluhan rumah kayu warna-warni dipanggil 'Bathing-box" yang sebenarnya pondok sewa untuk penduduk tempatan sahaja.



Appreciate where you are. Be thankful for every moment of the journey Allah has given you..

To be continued.....


Share:

08 June 2014

Ajaibnya Selawat

Ustazah Norhafizah Musa dan zauj, Dr Azahar.

Ustazah bercerita...

Saya pernah dijemput berceramah untuk pesalah-pesalah juvana yang kesemuanya lelaki.

Sebelum berceramah, saya diberi taklimat;

"Ustazah boleh ceramah sesuka hati selama 3 jam, tapi dengan syarat ustazah tak boleh tegur pelajar-pelajar."

Saya hairan, lalu saya bertanya sebabnya.

Rupa-rupanya, pernah ada yang memberontak kerana ditegur.

Tiba-tiba ada rasa sedikit menyesal di hati kerana datang. Kali ini luar biasa debarannya.

Ketika mulakan ceramah, saya beri salam dan tiada respon. 

Lalu saya berkata;

"Anak-anak, boleh kita mulakan dengan selawat"

Sepi. Tiada siapa yang ikut berselawat.

Saya mula mengangkat suara.

"Anak-anak semua, kalau kamu tak layan ustazah, ustazah bukan sesiapa dalam hidup kamu. Kamu kalau tak pedulikan mak ayah kamu pun, ustazah tak hairan. Tapi kalau kamu buat sombong dengan Nabi Muhammad SAW, yang ini ustazah bimbang Allah akan bayar cash kepada kamu. kerana ini kekasih Allah SWT."

Dan, selepas itu kesemuanya berselawat sehingga bergema dewan.

Subhanallah, saya melihat sendiri bagaimana Allah berselawat kepada kita.

Daripada tidak peduli dan mempersendakan, tiba-tiba masing-masing berubah sekelip mata.

Begitulah, bukti kekuasaan Allah melalui selawat Nabi SAW.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Barangsiapa yang berselawat kepadaku sekali, Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali”

Ibn Qayyim menyebut; Di antara maksud Allah berselawat kepada kita ialah Allah mengeluarkan kita daripada satu keadaan yang tidak baik kepada keadaan yang lebih baik.

Selawat menjemput barakah, rezeki ilmu, hidayah dan pertolongan Allah.

Allahumma salli ala Muhammad!
Share:

UmmuZayd

UmmuZayd
"UmmuZayd"
Inspirasi dari surah Al-Ahzab ayat 37
Zayd; nama yang pernah bersatu dengan patah perkataan Al-Quran
Zayd; nama yang terus kekal dituturkan makhluk yang membaca Al-Quran
Aku ingin menjadi Ummu Zayd
Ibu kepada insan-insan mulia ahlul Quran

Amin Ya Rabb

*Blog Ummuzayds telah bermula pada tahun 2009, dengan nama nursrikandislam, heartofsrikandi dan terkini lebih matang, ummuzayds. Enjoy your reading! ;)

Popular Posts

"umi, kami selongkar dunia maya
dan temukan catatan umi di sana"

-Anak-Anak UmmuZayd-

"Cita-cita ku adalah menginspirasi jutaan orang
meski mereka tak mengenalku,
biarlah Allah yang menilai kerja-kerjaku"

Categories

Blog Archive