"Everyday is a brand new start"

19 July 2014

Ramadhan Fantastik 2

Malam ini malam ke-22 Ramadhan. Alhamdulillah.

Ramadhan 2014 rasanya lebih pantas berbanding tahun lalu dan kini kita sedang melalui 10 malam terakhir di mana bermulanya pencarian lailatul qadr. Semoga Allah mempertemukan kita dengan malam lebih baik dari 1000 bulan. 


Maka hari ini, jika puasa terasa melemahkan, jika tarawih melelahkan, & jika tilawah memayahkan; mari menatap sejenak ke arah Gaza & Suriah. 
-Salim A. Fillah-

Umat Islam diuji dengan ujian hebat ketika Ramadhan. Bukan hanya peperangan di Palestin dan Syria, malah di Indonesia dengan pemilihan presiden terbaik untuk meninggikan syiar Islam di bumi itu. Malaysia juga tak terlepas dari diuji. Kali kedua setelah MH 370 beberapa bulan lalu, kini kesedihan menyelubungi rakyat Malaysia dengan terhempasnya MH 17 yang dikatakan kerana tembakan. Kematian yang cukup tragis. 

Kita beristighfar kepada Allah. Barangkali kerana dosa kesombongan dan kealpaan kita, maka peristiwa ini jadi peringatan dari Allah untuk kita kembali kepada-Nya. Ramadhan ini benar-benar bulan tarbiyah!

Pengalaman Menarik



Susana i'tikaf malam Ramadhan.
Sumber: Ustaz Luqman Makhtar

Bersyukur kepada Allah kerana dapat merasai mabit di masjid UIAM ketika bulan Ramadhan. Saya saksikan ramai hamba Allah yang bersungguh-sungguh beribadah dan mencari lailatul qadr. Ada yang sanggup membawa seluruh keluarga beri'tikaf semata-mata untuk merasai bersama-sama malam-malam Ramadhan di masjid. 

Lucu. Teringat peristiwa 'ini' saya jadi risau meletakkan barang saya terutamanya cermin mata di mana-mana. Suatu malam Ramadhan ketika solat isyak, tiba-tiba seorang budak lelaki melemparkan cermin mata saya ke bawah (tempat muslimin). Bukan hanya barang saya yang dijatuhkan tapi juga quran seorang rakan. 

Hari berikutnya, saya sudah fobia. Jadi, saya beralih solat di tingkat bawah. Selesai solat, saya berpaling ke belakang. Rasa tidak sedap hati. Saya lihat seorang budak kecil sedang memamah cermin mata saya di dalam mulut! Alhamdulillah, sempat saya ambil.


Volunteer masjid gigih menjaga kanak-kanak

Meskipun rasa sedikit terganggu dengan kanak-kanak yang nakal di masjid, tapi saya kagum terutamanya para ibu yang gigih menjaga ibadah di samping akhlak anak-anak mereka. Sesuatu yang mungkin tak mampu seorang ayah lakukan. Ada juga saya lihat kanak-kanak kecil yang tekun bersolat di dalam saf dan sabar menunggu bacaan imam yang agak lama. Subhanallah!

Betul, saya membetulkan kata-kata orang. Berada di UIAM terutamanya masjid UIAM membuka minda kita dan kita lebih belajar untuk menerima perbezaan. Di sini kita akan bertemu orang yang berlainan mazhab, bahasa dan gaya solat. Mungkin mereka punya hujah masing-masing. Bagi saya, solat yang terbaik adalah solat seperti solat Rasulullah SAW.


Ramadhan Penuh Erti

Tinggal beberapa hari lagi. Berdebar-debar.

Apakah kita tetap sama atau lebih baik?

Semoga.


Jangan lupa doakan saya.




Share:

05 July 2014

Ramadhan Fantastik 1


 Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.  

Teringat kali pertama saya beRamadhan di UIAM Gombak pada tahun lepas. Selama beberapa hari saya berpuasa di sini dan mabit di masjid. Ketika itu saya jatuh cinta dengan roh Ramadhan di UIAM. Di masjid ini bukan hanya dipenuhi dengan pelajar UIAM tapi juga masyarakat luar. Saya sangat suka mendengar bacaan imam-imam tarawih setiap malam walaupun dibaca satu mukasurat setiap rakaat. Saat itu, saya mula berharap untuk belajar di UIAM Gombak.

Alhamdulillah, hari ini impian saya Allah makbulkan. InshaAllah, hampir sebulan saya akan berada di UIAM dan melalui suasana Ramadhan di sini yang dipenuhi dengan pelajar antarabangsa. Sudah 3 tahun saya beRamadhan di rumah. Kali ini, Allah mahu saya merasai suasana yang berbeza; puasa sambil bekerja.

“Time to prepare the roof is when the sun is shining!” 
-John F. Kennedy-

Ramadhan adalah bulan "sharpen the saw". Sebulan latihan untuk kita istiqamah beribadah dan mujahadah untuk menghadapi bulan-bulan berikutnya. Bagi saya sendiri, Ramadhan adalah siapa kita sebenarnya. Maka, tempoh sebulan ini paling sesuai untuk kita muhasabah diri. 

Di bulan ini, sahabat-sahabat kita di Syria dan Palestin sedang berperang dahsyat. Rakyat Malaysia diuji dengan keadaan panas membahang. Ada juga insan yang dipanggil menghadap Tuhan. Barangkali kita hanya diuji dengan sabar menghadapi karenah manusia. Bertuahnya mereka yang berjaya menahan sabar di bulan Ramadhan!

Seluruh anggota kita semua ada peranannya 
Perlu dijaga di setiap tindakan 
Hati yang telah bersih dan berakhlak mulia 
Di sisi Allah tinggi nilainya 
-Nadamurni-


Hari ini hari ke-7 Ramadhan. Begitu cepat masa berlalu. Banyak waktu yang telah kita sia-siakan sedangkan setiap saatnya begitu besar nilainya di sisi Allah. Astaghfirullah. Mudah-mudahan Allah membantu kita untuk memanfaatkan semaksima mungkin bulan ini dan bertemu lailatul qadr nanti, Amin.

Ya Allah, ampuni diriku dan sesiapa jua yang membaca tulisanku ini. Bantu kami untuk mencapai taqwa dan kebaikan. Bantu kami untuk mendekatiMu dan memperbaiki diri menjadi hamba, terbaik di sisiMu.


#7 Ramadhan 1435H

Share:

04 July 2014

Aku serius mencintai Al-Quran!


Subhanallah! Sungguh saya kagum dengan si kecil adik Musa yang baru berumur 6 tahun tapi sudah selesai 29 Juzu'. Rasa malu dengan diri sendiri. Kisah ini jadi iktibar, semangat dan pendorong untuk saya menghafaz Al-Quran serta mendidik sesiapa sahaja terutamanya kaum keluarga saya menghafaz Al-Quran, inshaAllah.

Ketika ditemuramah dengan bapa beliau dalam RodjaTV, saya mendengar berkali-kali jawapan yang diberikan. Dari karakter beliau, saya mengagak beliau seorang yang tegas tapi penuh kelembutan dalam mendidik anak-anak.

Apakah Rahsianya?

Bapanya sanggup berhenti kerja dan berserah rezeki kepada Allah SWT kerana mahu mendidik anaknya menghafaz Al-Quran. Dan sesungguhnya, Allah benar-benar telah mengotakan janjiNya. Jelas usaha keras beliau menjadi guru pertama sebaik Musa bangun tidur jam 3 pagi untuk murojaah. Malah, beberapa kali juga saya mendengar bapa Musa menyebut tentang peranan isterinya. Konklusinya, mereka bersama saling melengkapi dalam mendidik anak-anak mendekati Al-Quran.

Kata beliau, seawal 2 tahun lagi huruf hijaiyah telah ditampal di merata tempat di rumah khususnya tempat yang selalu dilewati anak-anak. Ketika usia Musa 4 tahun, dia sudah boleh membaca Al-Quran dan bermula dengan menghafaz 2 mukasurat sehari. Ayat yang sama akan diulang-ulang sehingga hafaz.

Saya kagum dengan semangat bapa Musa yang terus menerus memberi motivasi kepada anaknya untuk menghafaz Al-Quran dengan memperkenalkan orang-orang soleh, ulamak, huffaz Al-Quran dan menceritakan kisah-kisah mereka kepada Musa sehingga Musa pun sudah hafal namanya!

Saya membaca artikel yang ditulis oleh ibu bapa penghafaz Al-Quran, mereka benar-benar yakin seperti juga bapa Musa; bahawa dengan Al-Quran anak-anak akan jadi mulia dan mudah untuk memahami ilmu-ilmu lain. Itulah keindahan Al-Quran.

Al-Quran adalah fitrah manusia, sampai anak-anak kecil yang tidak boleh membaca Al-Quran pun boleh menghafaznya! -kata Juri Abi.


Kerja Kuat

Kecerdasan itu harus diusahakan dengan kerja kuat dan keseriusan. Allah menilai setiap usaha kita dan serahkan sahaja natijahnya kepadaNya. Berniatlah untuk menghafaz AL-Quran semaksima mungkin dan mudah-mudahan Allah bantu kita untuk istiqamah.

Di bulan Al-Quran Ramadhan penuh berkah ini, sama-sama kita perbanyakkan mendengar, membaca dan memahami Al-Quran. Selain mendapat ganjaran dari Allah, dibuktikan bahawa sel darah merah mula menukar medan elektromegnetik di sekitarnya selepas diperdengarkan alunan Al-Quran. Impaknya, virus dan kuman akan menjadi lemah dan berhenti. AllahuAkbar!

Allah rahmati kami dengan Al-Quran,
Jadikan ia pimpinan, cahaya, petunjuk dan rahmat,
Allah ingatkan kami apa yang terlupa,
Ajarkanlah yang tak diketahui,
Rezekikan kami membacanya,
Siang dan malam,
Sepanjang siang dan malam,
Jadikan ia penolong kami.

Amin.



#6 Ramadhan 1435H





Share:

02 July 2014

Impian Seorang Pengembara


Setiap orang bertemu peristiwa yang berbeza, setiap orang memiliki fokus yang berbeza, dan setiap orang punya sudut pandang yang juga berbeza, maka setiap orang punya cerita yang berbeza. Ini membuat setiap perjalanan terasa berbeza. Walau ke tempat yang sama dengan yang disinggahi oleh orang lain!
“Dan Allah menjadikan untukmu cahaya yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan, dan Dia mengampuni kamu, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”(Surah Al Hadid: 28)
“Inilah ayat Al-Quran yang menuntut kita mencari ilmu dengan pancaindera yang kita miliki. Sebuah tuntutan melakukan perjalanan ilmu dari siapa pun yang kita temui dan apa pun yang kita jumpai. Kerana setiap apa yang kita lihat, dengar, dan rasa, adalah dari-Nya.” -Berjalan di Atas Cahaya


Ya Allah, izinkan aku untuk mengembara lagi!

#4 Ramadhan 1435 H

Share:

UmmuZayd

UmmuZayd
Inspirasi dari surah Al-Ahzab ayat 37
Zayd; nama yang pernah bersatu dengan patah perkataan Al-Quran
Zayd; nama yang terus kekal dituturkan makhluk yang membaca Al-Quran
Aku ingin menjadi Ummu Zayd
Ibu kepada insan-insan mulia ahlul Quran

Amin Ya Rabb

Popular Posts

"umi, kami selongkar dunia maya
dan temukan catatan umi di sana"

-Anak-Anak UmmuZayd-

"Cita-cita ku adalah menginspirasi jutaan orang
meski mereka tak mengenalku,
biarlah Allah yang menilai kerja-kerjaku"

Categories