"Everyday is a brand new start"

06 December 2014

Nikmat Allah. Ingat Tak?


Saya banyak menulis berdasarkan pengalaman hidup. Kali ini, izinkan saya bercerita satu lagi kisah peribadi yang baru terjadi.

Sebelum ini, saya kerap berdoa dalam hati.

"Ya Allah, saya sangat mengharapkan kurma pemberian-Mu. Kurma simpanan saya sudah mahu habis"

Pastinya ada yang tergelak dengan doa saya. Sebenarnya, ketika itu saya ada terdengar bahawa banyak kurma yang dijual di Malaysia tidak berkhasiat sepertimana kurma dari Arab Saudi.

Hari berganti hari, saya menanti kurma pemberian Allah sehingga akhirnya saya terlupa dengan doa saya tersebut.

Pada hari Jumaat yang penuh berkah, Allah dengan kemurahanNya memberikan saya kurma dari jalan yang tak disangka-sangka. Bukan hanya beberapa biji, tetapi sekotak besar kurma dari Mekah, bersama kurma ajwa kesukaan Nabi melalui seseorang sebagai hadiah untuk saya.

Saya terharu. Alhamdulillah, Allah itu Maha Mengabulkan hajat hamba-Nya.


Pada hari yang sama, saya didenda dengan sejumlah wang yang agak banyak kerana kesalahan seseorang yang tidak saya ketahui. Saya merasa dizalimi.

Kita manusia, mudah lupa.

Teringat saya kata-kata Ustaz Ebit Lew; 'Musibah itu Rahmat.'

Saya yakin, musibah ini ujian yang di dalamnya ada rahmat Allah.

"Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?"

Mengingati nikmat Allah. Itulah penawar bagi jantung hati insan. Itu ubat bagi nurani insan. Penawar terhadap takdir yang memberat di jiwa.

Allah baru menghadiahkan saya kurma sepertimana permintaan saya. Persoalannya; layakkah saya untuk memarahi Allah? Bahkan duit dan segala harta benda itu milik-Nya jua.

Berkata Ibnu Athaillah dalam Syarah Al-Hikam:

"Barang siapa yang tidak mensyukuri nikmat bererti menginginkan hilangnya nikmat tersebut dan barang siapa mensyukurinya bererti dia telah mengikat nikmat tersebut dengan talinya".

Mengingati nikmat itu ujian. 

Dan pada nikmat yang tertangguh, maka bersabarlah dan ingatlah nikmat-nikmat yang sedang ada pada kita.

Ingatkah kisah seorang yang kaya dan suka bersedekah? Setiap pagi, orang kaya akan melemparkan duit kepada orang ramai.

Berebut-rebut orang mengutip duit. Mereka ambil dan berlalu pergi.

Namun untuk seseorang yang istimewa, pasti orang kaya akan mengajak orang tersebut masuk ke rumah, dihidangkan makanan dan diberi pemberian dalam keadaan terhormat tidak seperti orang lain.

Kerana orang itu 'istimewa'.

Maka begitulah dengan Allah, wa lillahi masalul a'la.

Bilamana seseorang hamba itu istimewa di sisi Allah, kadang-kadang Allah menangguhkan pemberianNya untuk diberi yang terbaik berbanding hamba-Nya yang lain.

Justeru di dalam ujian nikmat itu ada syukur, sabar dan cinta.

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai. 
(Al-A'raf :179)


Share:

0 comments:

Post a Comment

UmmuZayd

UmmuZayd
"UmmuZayd"
Inspirasi dari surah Al-Ahzab ayat 37
Zayd; nama yang pernah bersatu dengan patah perkataan Al-Quran
Zayd; nama yang terus kekal dituturkan makhluk yang membaca Al-Quran
Aku ingin menjadi Ummu Zayd
Ibu kepada insan-insan mulia ahlul Quran

Amin Ya Rabb

*Blog Ummuzayds telah bermula pada tahun 2009, dengan nama nursrikandislam, heartofsrikandi dan terkini lebih matang, ummuzayds. Enjoy your reading! ;)

Popular Posts

"umi, kami selongkar dunia maya
dan temukan catatan umi di sana"

-Anak-Anak UmmuZayd-

"Cita-cita ku adalah menginspirasi jutaan orang
meski mereka tak mengenalku,
biarlah Allah yang menilai kerja-kerjaku"

Categories