"Everyday is a brand new start"

30 November 2015

Memilih Mati


Bismillah...


Berbekallah dengan amal taqwa.

Apabila berlabuhnya malam, siapa yang pasti hidup di subuh hari esok.

Berapa ramai anak muda yang ketawa berdekah-dekah rupa-rupanya kain kafannya telah dikoyakkan sedang dia tidak tahu.

Berapa ramai anak kecil yang diharap panjang umurnya tapi telah merasai gelapnya kubur.

Berapa ramai para pengantin yang diandam seindahnya tetapi sebelum datang malam indahnya disentap nyawanya terlebih dahulu.

Berapa ramai orang sihat mati tiba-tiba dan berapa ramai orang sakit tapi panjang pula umurnya.

-Syair hukama'

Kita diberi peluang oleh Allah untuk mati.
Maka kita harus memilih bagaimana untuk mati.
Peluang hanya sekali.

"Ya Allah, pilihlah kami untuk mati dalam husnul khatimah. Dengan cara yang baik, di waktu yang baik, di tempat yang baik, dalam keadaan Engkau paling redha dengan kami dan kamipun redha padaMu."

Kata Allah: "Wahai jiwa yang tenang dan tenteram kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan redha dan diredhai. Iaitu masuklah ke dalam golongan hambaKu (yang soleh). Dan masuklah ke dalam syurgaKu". (Surah Al-Fajr: Ayat 27-30)


Ini adalah Syeikh Abdur Razzaq al Halabi, di antara guru terkemuka di bumi Syria yang faqih dalam qiraat 10. Beliau meninggal dunia semasa membaca Al-Qur'an. Jari kanan bersyahadah, jari kiri menunjuk ayat.

Demikianlah, seseorang meninggal sesuai dengan kebiasaannya.

Subhanallah..Indahnya kematian ketika sujud.
Apa yang terlintas di fikiran anda bila terdengar kematian?

Ada orang sangat merindukan syurga. Ada orang jadi takutkan azab neraka. Ada orang masih merasa jauhnya kematian. Dan, ada orang tak sabar berjumpa Tuhan. Syaratnya berjumpa Tuhan, bukankah kematian?

Senyuman insan yang terpilih menjadi tetamu Allah
dan meninggal dunia di tanah suciNya.
Marilah kita merenung kisah hamba-hamba Allah yang benar-benar memanfaatkan hidupnya. Hidup dan mati dalam kemuliaan.

Lihat Mus'ab bin Umair yang membawa bendera dengan keberanian luar biasa. Dia telah syahid terkena 80 tusukan pedang di badannya di samping bendera yang dibawa.

Abdullah bin Jahsy pernah berdoa:
“Ya Allah, pertemukanlah aku dengan musuh yang jahat dan buas. Aku akan melawannya dan aku tewas ditangannya. Dia kemudian memotong hidung dan telingaku”
Ketika perang Uhud berakhir, ternyata Allah memakbulkan doanya. Para sahabat menemukan jasadnya tewas sepertimana doanya. Hidung dan telinganya tergantung pada seutas tali.

Ini hanya sebahagian kisah orang-orang cemerlang. Dan kita memiliki peluang yang sama oleh Allah. Berdoalah agar Allah berikan kita kemampuan untuk memaksimakan segala modal yang Allah berikan untuk mati dalam kemuliaan.

Tok Guru, kematiannya menghidupkan.
Pakar psikologi memberitahu cara untuk tenang adalah ingat mati. INGAT, bukan takut. Kerana mati itu tiada pilihan kecuali kepastian. Mati itu motivasi. Motivasi itu bukankah menyelamatkan, bukan menakutkan?

Mengingati mati, menghilangkan lelahnya menghadapi ujian dunia. Menghilangkan rasa cemburu pada manusia. Mengingati mati itu menghidupkan jiwa-jiwa. Kerana mati, boleh datang bila-bila masa.

Kita semua perlu berjuang dalam sebuah perjuangan husnul khatimah. 

Kita pasti akan mati. 

Dan kita mati mengikut bagaimana kita hidup di dunia ini.
Share:

27 November 2015

Hidangan Yang Indah


Gambar menjadi Fasi di Kem Rakan Quran
Bismillah...

(Allah) yang Maha Pengasih. Yang telah mengajarkan Al Qur’an. (Surah Ar-Rahman :1-2)

Mereka ini suci.
Mereka ini tulus.
Mereka inilah yang digelar Qurratu a'yun.

Alhamdulillah, semalam baru selesai Kem Rakan Quran di Pusat Tahfiz Darul Hafidzin selama 5 hari. Syukur, Allah menggerakkan hati, melapangkan jalan di celah kesibukan yang mengejar, untuk bersama kanak-kanak ini. Inilah kali pertama saya menjadi fasi kepada kanak-kanak 7 & 8 tahun. 

Mereka sangat muda!


Slot mengenalkan neraka
Dalam keletihan tak cukup rehat dan tidur, bila berjumpa semula dengan mereka bagaikan muncul kekuatan luar biasa. Lebih-lebih lagi, bila ditasmi' ayat Al-Quran. Subhanallah..inilah mukjizat luar biasa Al-Quran.

Saya fikir tarbiyah yang diberikan kepada mereka sangat hebat biarpun mereka masih kecil. Bila kami tayangkan video untuk dicari gali moral, mereka bersuara sebaliknya.

"Eh ustazah, diorang tak tutup aurat!"
"Ustazah, kenapa dia makan tangan kiri? Kan tak baik?"

Dan bila ustazah main game "Ustazah kata..", lalu ustazah suruh pegang rambut. Banat bersuara.

"Ustazah, tak boleh pegang rambut. Kami kan pakai tudung."

Kami fasi-fasi tersenyum. Mereka sungguh suci.  


Gembira melihat mereka didisiplinkan dengan kehidupan Islam yang sebenar dan mengamalkan sunnah-sunnah rasul yang kian dilupakan. Alangkah bagus jikalau kanak-kanak yang lain di luar sana pun turut ditarbiyah hal yang sama. Ini kerja siapa? Ya, bukan sahaja peranan ibu bapa tapi perlu kerja kuat kita semua.



Dalam kalangan banin dan banat, ada yang telah banyak menghafal Al-Quran, dan bila diperdengarkan subhanallah.. bacaan mereka bertajwid dan lancar. Berbeza benar dengan saya sendiri sewaktu seusia mereka dulu.

Bila tiba waktu solat pula, masing-masing berebut menjadi imam, bilal, dan membaca doa. Allahu Akbar, ini sebenarnya yang kita mahukan kepada pendidikan awal anak-anak.

Fastabiqul khairat..Berlumba-lumba membuat kebaikan!

Video yang saya tayangkan sewaktu slot. Melihat kembali 
video ini membakarkan semangat.

Inilah kegembiraan yang dicari dalam kesibukan. 

Satu perasaan bertuah dan bahagia di saat dapat didekatkan kepada Al-Quran melalui mengenalkan dan mengajar mereka tentang Al-Quran.

Nikmat bersama Al-Quran antara satu nikmat yang paling indah. Dipilih Allah untuk melihat Al-Quran, membaca, mengajarkan dan bersama dalam saf perjuangan mendaulatkan Al-Quran.

Hanya pertolonganNya yang sempurnakan usaha ini.

Semoga, usaha ini menjadi kemudahan untuk zuriat keturunanku kelak menjadi hamalatul Quran, penyambung tugas mendaulatkan Al-Quran di muka bumi.

Allah telah berjanji di dalam Al-Quran:

"Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan." (Surah An-Nahl:97)


Share:

20 November 2015

Sakitnya Tu Di Sini

Selepas accident 2016 di USIM
Bismillah..

“Dan Kami lebih 'dekat' kepadanya daripada urat lehernya” (Qoof: 16)

Apa erti "dekat" bagi kalian? 

Dekat jasadiah atau batiniah? 

Saya mendalami "dekat" itu tadi. Ketika tayar kereta saya bocor di tengah jalan yang sibuk. Allahu Akbar.

Bayangkan tiba-tiba tayar yang elok itu bocor. Saya perlahankan kereta dan ke sebelah kiri jalan. Tangan saya menekan hazard light. Saya tidak berani untuk berhenti di tepi jalan, maka saya paksakan kereta bergerak dengan tayar yang sudah tak bermaya. 

Sebenarnya, apa yang paling menakutkan adalah saya sendirian!

Di saat kritikal inilah saya teringat kisah seseorang. Kereta beliau rosak tiba-tiba, dan orang pertama yang beliau ingat adalah suami! Walaupun tahu suami itu jauh, dan tak dapat membantu pun tapi suamilah yang paling dia harapkan.

Lalu beliau berpesan sebagai muhasabah untuk diri sendiri, "Kenapa tidak kita meminta kepada yang paling dekat?"

Tapi persoalannya, siapa yang paling dekat dengan kita?


Meminta kepada Allah yang paling dekat, bertawakkal, dan sempurnakan usaha dengan memohon pertolongan sahabat. Saya akhirnya berhentikan kereta di tepi jalan yang tidak berapa jauh dari shell. Saya keluar dan hanya mampu merenung tayar.

Sedih. Banyak mata yang memandang, tapi tak satupun yang mahu memberi pertolongan. Tidak lama, sebuah kereta berhenti, kemudian keluar seorang lelaki yang agak berusia dan seorang lagi mungkin sahabatnya. Dari jauh mereka bertanya:

"Bakpo keto?" Oh Kelantan rupanya. Rasa sedikit lega kerana berhusnu dzon orang pantai timur baik-baik belaka. Uhuk!

Setelah meneliti keadaan tayar yang kebocoran agak teruk, alhamdulillah mereka memberi pertolongan sepenuh hati bermula menukar tayar di bawah panas terik, pam dan subhanallah, menolak untuk dibayar!

Pak cik sempat bercerita, mereka dalam perjalanan mengambil anak di Bentong yang mahu balik bercuti. Anak beliau sekolah agama di sana. Alhamdulillah, Allah menghantar orang baik.

Dan sebenarnya, hati ini terasa paling sebak memikirkan dan merenung kata-kata pak cik seterusnya:

"Dik, sebenarnya tadi kitorang nak berhenti di Petronas, tapi entah kenapa kami tak jadi dan pilih untuk pergi ke shell. Dan ternampak adik dari jauh."

Subhanallah. Subhanallah. Tiada kebetulan tapi segalanya perancangan Tuhan. Allah jualah yang menguasai hati-hati insan.

Allah memang terlalu dekat. Kisah ini hakikatnya untuk mengingatkan diri sendiri yang selalu lupa bersyukur. Semoga turut menjadi jalan untuk pembaca lebih bersungguh memohon kepada Allah yang dekat.

Kau yang berhak disembah
Pemerintah alam
Tempat mengadu segalanya

PadaMu cinta teragung
Kaulah zat yang Esa
Tiada seperti makhluk ciptaan
Pada gambaran pasti bukan Dia

-Cinta yang Teragung (Mestica)

Allah berfirman: "Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat." (Al-Baqarah:186)

Share:

18 November 2015

Kenapa "DOWN"?


Bismillah...

Pabila laluan seakan sukar 
Bagai tak terdaya untuk terus bertahan
Namun kasihMu menyedarkan
Aku tak pernah sendirian

Ke mana semangat menghilang?

"Sesiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan." (Surah Yusuf:90)

Ada masanya, semangat kita yang berkobar-kobar mulai surut entah ke mana. Ada ketikanya, perasaan kita berbolak balik hilang tenangnya. Ada saatnya pula, kita tercari-cari kekuatan dari niat yang kita sematkan. Ada saatnya, kita tewas jua dari meyakini janji-janji di dalam ayat-ayatNya.

Itulah kehidupan, yang tidak selalu indah dan lancar, tidak juga selalu tenang dan bahagia. 

Orang-orang menjadikan FB, Twitter, Instagram, blog dan seumpamanya sebagai tempat meluah rasa. Sunyi, lemah, sedih, kecewa dan bermacam lagi rasa. Beberapa orang yang lain mencari-cari manusia yang sudi mendengar masalah, lalu dijadikan tempat meluah rasa. 

"Tolong kuatkan saya, saya sangat lemah..."

Ah, memang itu juga fungsi manusia kan. 

Seringkali, melakukan itu semua tak pernah menyelesaikan masalah. Hati yang tadinya tenang rupanya hanya sebentar. Allahu Allah. Mengapa jadi begini?

"Lah, kenapa baru sekarang kau memanggilKu?" Tanya Allah.

Kita seringkali lupa kepada Allah yang maha kuasa, maha kaya, maha mencukupkan, maha segala-galanya. Untuk memulihkan sakit di hati kita, cukup mudah bagiNya. Oh, rupa-rupanya kita hanya memberi sisa kepadaNya.

Padahal untuk menghayati dan menghilangkan kesedihan dari ayat suciNya pun kita perlu meminta kepadaNya. Duhai jiwa yang lemah, perasaan ini mutlak hakNya!

Mari sejenak kita beristighfar atas dosa-dosa kita. Istighfarlah juga atas istighfar kita yang penuh kelalaian. Buang sombong itu jauh-jauh. Jangan pernah mengaku kuat tanpa Allah.

Kita hamba yang selalu lupa, bahawa segala yang kita lakukan di dunia ini perlu semata-mata keranaNya. Hatta amal yang dilihat kecil dan remeh oleh manusia pun sebenarnya terlalu bernilai jika tujuannya mempersembahkan yang terbaik buatNya. 

Sehingga di hadapan Allah nanti, kita mampu tersenyum mengatakan "Wahai Allah, inilah amal-amalku yang manusia perkecilkan. Sesungguhnya, aku melakukan ini semua tidak lain hanya untukMu Tuhan." Subhanallah, indah bukan?

Kenapa tidak kita gegarkan diri sendiri supaya sedar bahawa kita hamba Dia, bukan manusia. Dalam hidup ini, bukan hak kita yang perlu ditagih-tagih untuk dipenuhi tapi kebahagiaan itu akan datang ketika kita sedar peranan kita sebagai hamba Ilahi.

Letakkan tangan di dada dan rasai denyutan jantung pemberianNya. Hati ini, sememangnya perlu dirawat dengan rasa syukur. Kenapa masih terkial-kial mencari apa yang harus disyukurkan sedangkan nikmat iman dan Islam itu pemberian Allah paling mahal tak ternilai. 

Ubat setiap masalah itu sangat dekat dengan diri kita. Bayangkan, kita diberi ubat ketika sakit, tapi kita tak mahu memakannya. Rugi kan?

Kita diberi Allah solusi dari qiamullail, bacaan Al-Quran, zikir, majlis ilmu dan ibadah sunat yang menguatkan cinta, wah begitu banyak, tapi kita sanggup sia-siakan?


Ya Allah, dengan pengetahuanMu pada yang ghaib dan kuasaMu atas makhlukMu, hidupkanlah kami Ya Allah sekiranya kehidupan itu baik untuk kami, dan matikanlah kami sekiranya kematian itu baik untuk kami.

Kami memohon rasa takut padaMu dalam keadaan terang-terangan mahupun sunyi. Kami mohon Ya Allah perkataan yang benar pada saat redha dan saat marah.

Kami mohon Ya Allah kesederhanaan saat kaya dan miskin. Kami mohon Ya Allah kenikmatan yang takkan pernah putus, dan keredhaan atas semua yang Kau tetapkan.

Ya Allah, kami mohon kehidupan yang damai setelah mati. Kurniakanlah kami nikmat dapat melihat wajahMu, serta kerinduan untuk bertemu denganMu.

Jadikanlah kami orang yang mendapat hidayah dan menebarkan hidayah kepada orang lain.

Amin ya Rabb.

Share:

09 November 2015

Tak Kenal Maka Tak Cinta


Gambar sekadar hiasan
3 orang anak gadis sedang berborak tentang makanan.

Gadis 1: Sedapnya asam pedas ni... dahla pekat!
Gadis 2: Asam pedas ni tak sedaplah.. sebab kakak ipar saya masak lagi sedap.
Gadis 3: Betul..macam tomyam. Sebab tu saya tak pernah beli tomyam tempat lain. Mak saya punya tomyam je paling sedap.

Saya cuba kaitkan dialog di atas dengan Islam dan Al-Quran.

Semestinya bila seseorang itu sudah merasa 'izzah dengan Islam, pastinya hanya agama itu tetap sempurna di hatinya. Begitu juga bila seseorang merasa cukup dengan Al-Quran, solusi apapun untuk menenangkan hati yang lara pasti tak sehebat Al-Quran.


Lirik lagu Khawateer yang menginspirasikan.

Saya ada menonton rancangan Khawateer yang dihoskan oleh Ahmed Al Shugairi. Topik episod tersebut ialah "Arihna biha ya Bilal" (rehatkan kami dengan solat ya Bilal). Pengacara menyebut ayat dari surah Al-Baqarah ayat 155:


"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar."

Hasil statistik menunjukkan negara Jepun antara 10 negara teratas kadar bunuh diri. Ada yang stress kerana kerja lalu bunuh diri. Apabila mereka sudah tak mampu melawan penyakit dan membayar hutang, mereka selesaikan masalah dengan bunuh diri. 

Betapa banyak buku diletakkan di perpustakaan Jepun untuk beri semangat agar bunuh diri bukan solusi masalah. Malah sistem keselamatan diketatkan di stesen kereta api agar penduduk Jepun tak cuba membunuh diri. 

Begitulah bertuahnya orang beriman, mereka ada Allah untuk meminta tolong. Allahu Akbar. 

Ayat 155 surah Al-Baqarah disambung dengan ayat 156 yang menunjukkan solusi bagi masalah orang mukmin:

"(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

Sesiapa yang kembali pada Allah dengan meminta tolong padaNya, PASTI akan bertemu ketenangan dan jalan keluar. Subhanallah.

Minggu lepas, saya menemuramah beberapa orang wanita yang menceritakan masalah mendidik anak-anak di zaman kini. Kami cuba berdiskusi tentang solusi. Dalam keadaan tekanan kos hidup yang tinggi, ibu bapa yang sibuk bekerja tidak mampu mengawasi anak-anak yang berkembang bersama arus teknologi dan media sosial. Kes-kes pornografi dan jenayah remaja kian bertambah. Vape pun sudah mampu dihisap kanak-kanak kecil. Menyedihkan.

Dalam hati ini ada rasa gentar untuk mendidik generasi terutamanya anak-anak sendiri nanti. Sudahnya, kami menemukan solusi yang sama, iaitu TAUHID.

Dengan mengenali Allah menerusi nama dan sifat kebesaran-Nya, diri sendiri dan anak-anak akan mengenali sifat-sifat kesempurnaan Allah. Maka akan timbullah rasa kasih, malu, kagum, sayang, takut, harap, hina, rindu, cinta dan lain-lain dalam diri. Seterusnya, rasa mempengaruhi tindakan, percakapan dan perasaan. 

“Tak kenal maka tak cinta.” Untuk cinta, mesti kenal. Maksudnya, jika seorang anak itu benar-benar kenal Allah, maka sudah pasti ia cintakan Allah. Dan apabila dia telah cintakan Allah, maka dengan sendirinya lahir perbuatan-perbuatan yang selaras dengan rasa cintanya itu. Apa yang Allah suka, dilakukannya. Apa yang Allah benci, ditinggalkannya." -Ustaz Pahrol

Maaf, setakat ini satu-satunya solusi yang saya temukan adalah menguatkan hubungan kita dan keluarga dengan Allah.

Menterjemahkan prinsip Allah Dulu, Allah Lagi, Allah Terus.

Mohon doakan saya. 

Wallahu'alam.
Share:

04 November 2015

A Fresh Start [Little Big Master]

Filem Mandarin Little Big Master
Bismillah.. 


Dalam hidup, kalian akan bertemu dengan guru terbaik kalian, yang akan mengubah hidup kalian.
-Little Big Master

Teringat  sewaktu perjalanan ke Amsterdam di dalam flight Garuda, menitis air mata saya setelah menonton satu filem yang cukup menyentuh hati. Mujur teman di sebelah khusyuk menonton. Inilah filem pertama yang saya tonton seluruhnya dari mula sampai habis di dalam flight. Alhamdulillah, pilihan Allah tepat. Filem ini saya beri 5 bintang!

Filem Mandarin "Little Big Master" dikatakan filem Laskar Pelangi versi Hongkong, malah menjadi box office. Bagi saya, filem ini sangat menginspirasikan. Di sekolah yang hanya memiliki 5 murid, seorang wanita bernama Lui Wai-Hung rela memperoleh pendapatan terendah sebagai guru besar sepanjang sejarah Hongkong. 


Sewaktu mencari toilet ketika hujan lebat

Kisah ini menunjukkan makna sebenar panggilan 'guru' yang bukan hanya sebagai pendidik, tapi pemberi harapan. Hung tak hanya menyelamatkan sekolah daripada ditutup, bahkan turut menyelamatkan kehidupan anak-anak di kampung tersebut.


Tugas guru perlu berjiwa besar kerana tugas ini membina dan membentuk manusia.
-Ustaz Syaari

Ujian dan konflik bukan saja datang dari keadaan keluarga anak-anak didiknya dan cemuhan masyarakat, tapi ditambah dengan penyakit barahnya. Saya kagum dengan keyakinan Hung sebagai guru. Suatu perjuangan yang tidak mudah namun juga bukan sesuatu yang tidak mungkin. Tekad yang kuat pasti berbuah hasil.

Perjuangan Hung membuka mata saya, menjawab kata-kata negatif di fikiran ini. Ketika orang lain mengejar nama, wang dan pangkat, lihatlah kepada orang yang gigih berjuang untuk berbakti kepada masyarakat, meskipun dalam serba kekurangan.

Kita hidup ini harus berbakti pada orang. Fikiran, hati dan gerak langkah harus didedikasikan sebagai manfaat untuk orang lain.
-Yusuf Mansur
Saya pernah terbaca satu nasihat yang saya pun setuju;

Jangan niat nak belajar tinggi-tinggi sebab nak gaji besar. Jadi dalam mencari kerja pertama, jika gaji mungkin tak setaraf graduan Master, asalkan tidak perlu meminta-minta orang lain, ilmu yang dipelajari dapat dimanfaatkan, dan mudah-mudahan ada saham untuk akhirat nanti sudah memadai.

Kata Saiful Nang, "Kaya kita bukan kerana kita banyak duit tetapi kerana kita CUKUP. Pendapatan 100k sebulan jika nafsunya RM200k tetap kita jadi sangat miskin lagi. Maka kuncinya ialah nafsu yang perlu dididik.

“Dan cukuplah Allah sebagai pemberi kecukupan” (an-Nisaa': 6).

Maka jelaslah sifat Allah al-Hasiib Yang Maha Mencukupi hamba-hambaNya dalam semua keperluan mereka, baik dalam urusan agama mahupun urusan dunia. 

Seringkali ditanya, "Kenapa ambil Master?" Dan mungkin kebanyakan orang telah di'mind-setting' kan bahawa graduan Master/phD pasti akan bekerja hebat serta bergaji/berjawatan tinggi. 

Di sisi lain, saya melihat beberapa orang yang sanggup berhenti kerja walaupun bergelar "dr" kerana ingin menguruskan keluarga. Walaupun kelihatan melawan arus, tapi saya melihat mereka membuat keputusan yang tepat.
Inspirasi dari Yaasin Kindergarten China
Ini impian saya. Saya sudahpun menulis impian saya di blog ini. Dan inshaAllah, Allah sedang menunjukkan jalan ke arah ini. Saya berimpikan melahirkan seramai mungkin generasi Al-Quran yang akan bersama-sama mendaulatkan Al-Quran di muka bumi ini.

Semoga Allah kukuhkan keyakinan saya pada janjiNya. Semoga Allah membantu perjuangan ini sampai akhir hayat saya. Semoga, Allah memilih saya menjadi murobbiyah sekaligus pemberi harapan kepada sakitnya ummah.

If you complain about sadness resides within your heart

You can wipe it away by putting a smile on child's face

-Khawateer-
Share:

21 October 2015

Pakej Ahlul Quran


Sheikh Zainuddin Al-Malbari menulis satu syair yang menggambarkan pakej atau ciri-ciri orang menghafaz al-Quran. 

Qari dan hafiz haruslah berperangai dengan perangai yang baik dan diredhai,
seperti zuhud terhadap kemewahan dunia, 
tidak menaruh perhatian kepada harta atau gilakan dunia.


Juga orangnya murah hati, dermawan, berakhlak mulia dan wajah berseri-seri,

Seorang yang santun, penyabar, 
menghindari pekerjaan yang menghinakan, 
dan sentiasa memperindahkan dirinya. 

Menjauhi tempat tertawa dan tidak bercanda berlebihan. 

Takut pada ujub, riak, hasad, merendahkan orang lain, 
takbur dan sentiasa berhati-hati. 


Mempergunakan zikir, doa, tasbih dan tahlil yang jelas sumbernya. 

Selalu ingat kepada Allah SWT di saat sepi dan ramai,
serta menyandarkan segala urusan kepada Allah SWT. 


Demikianlah sebahagian adab pembaca dan penghafaz al-Quran yang harus disempurnakan.



Share:

07 October 2015

Peristiwa Peradaban

Gambar Hiasan

Bismillah..

"Ya Tuhan kami, anugrahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa."  (Al-Furqon : 74)

Pernikahan itu seperti kematian, ia tak dapat diprediksi namun wajib untuk disiapkan. Pernikahan itu seperti kematian, ia tak perlu dibicarakan namun ia pasti akan datang.

Kita seringkali menganggap pernikahan itu adalah peristiwa hati. Padahal sesungguhnya pernikahan adalah peristiwa peradaban.

Ini bukan hanya tentang dua manusia yang saling mencinta lalu mengucap akad. Ini peristiwa peradaban yang mengubah demografi manusia.

Pernikahan adalah sayap kehidupan. Rumah adalah benteng jiwa. Jika di rumah kita mendapat energi memadai, di luar rumah kita akan produktif.

‘Sakinah’ bukan cuma ‘tenang’. Ia berasal dari kata ‘sakan’ yang ertinya ‘diam/tetap/stabil’. Maka ia tenang karena stabil, bukan lalai.

Sakinah: ketenangan yang lahir dari kemantapan hati. Manusia menjadi tenang saat kebutuhan-kebutuhannya terpenuhi secara komperhensif.

Al-Qur’an menjelaskan: ‘Kami jadikan air sebagai sumber kehidupannya’. Air (mani): sumber stabilitas dan produktifitas.

Hakikat pernikahan tidak bisa dipelajari dari manapun. Learning by doing. Islam arahkan menikah muda agar penasaran itu cepat terjawab. 

Agar setelah ‘rasa penasaran’ itu terjawab, perhatian seseorang bisa lebih banyak tercurah dari urusan biologis ke intelektualitas-spiritualitas.

Tidak perlu takut terhadap beban hidup, yang perlu dilakukan hanya mengelolanya. Sebab pelaut ulung pun terlahir setelah melewati gelombang-gelombang samudera.

Yang bisa membuat kita melewati gelombang itu adalah persepsi awal yang benar tentang cinta. Dorongan untuk terus memberi pada yang kita cintai.

Hubungan yang terbina bukan hanya hubungan emosional, tapi juga spiritual-rasional. Karena keluarga ini adalah basis sosial terkecil untuk membangun peradaban. 

[Khutbah pernikahan anak Ust.Tate Qomaruddin oleh Ustaz Anis Matta]


Menikah adalah amanah. Menikah adalah dakwah. Maka segala di dalamnya harus sesuai dengan syariat ibadah, amanah, dan dakwah.

Benarlah, pernikahan adalah akad untuk segala yang bernama kebaikan!

Wallahualam.
Share:

02 October 2015

Cantiknya Diam



Bismillah..

Saya terjumpa catatan seseorang. Tentang Diam.

Diam lisan. 
Diam tulisan.
Terkadang tanpa kata dan suara, kehidupan boleh menjadi jauh lebih bermakna.

Mulakan mujahadah untuk berasa nikmat; 
Pendapat kita hanya Allah yang tahu.
Rasa kita hanya Allah yang tahu.
Amal kita hanya Allah yang tahu.
Peduli kita hanya Allah yang tahu.

Nikmati diam.
Banyakkan bicara dengan Tuhan.

Kehidupan hanya perlukan keredhaan Allah. 
Biarkan Langit dan Alam yang bersaksi.

Nabi menuturkan:
"Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat berkatalah yang baik atau diam." (HR Bukhari dan Muslim)

Benar kata Dr Rozaimi Ramle, ia hadis yang ringan di lidah. Tetapi jika kita berada dalam situasi pergaduhan dan perselisihan baru kita rasai bahawa keimanan yang tinggi sahaja mampu menjadikan kita mengamalkan kandungan hadis yang ringkas ini. 

Berusahalah diam dari segala ayat-ayat sindiran, sarkastik atau memperlekehkan jika tiada perkara baik padanya. Sindiran dan sarkastik tidak meninggikan darjat, tidak menambah sahabat, tidak pula menambah amalan apatah lagi menambah ilmu.


Kata bijak pandai
Semoga Allah redha pada diam.
"Kalau dalam kesibukan, agak sulit menemukan diri yang sebenar. Tapi kalau dalam keheningan atau tafakur, kita lebih jujur melihat diri yang sebenar." -AaGym

Share:

17 September 2015

Benvenuti in Italia 9 [ LAST: spiritual journey ]

Bismillah...



"Setiap orang bertemu peristiwa yang berbeza, setiap orang memiliki fokus yang berbeza, dan setiap orang punya sudut pandang yang juga berbeza, maka setiap orang punya cerita yang berbeza. Ini membuat setiap perjalanan terasa berbeza. Walau ke tempat yang sama dengan yang disinggahi oleh orang lain!" 

BAJET??

Segalanya bermula dengan tawakkal. 

Mei 2015, saya dan along mula survey tiket murah. Siang malam membuka laman web kayak dan skyscanner  (boleh muat turun apps ke handphone) sehinggalah Garuda mempromosikan tiket ke Rome. Seeloknya, booking tiket setahun sebelum terbang untuk harga jauh lebih murah. 

Perbelanjaan untuk tiket pergi balik sebanyak RM3k lebih dan bila dicampur tiket train, tempat, waterbus, makan dan souvenir semuanya RM5k. Alhamdulillah, penginapan saya disponsor kakak, jika tidak mungkin dalam RM6k ke atas.


Semasa kami menukarkan ringgit ke mata wang euro, ketika itu mata wang Malaysia baru mahu jatuh. Bayangkan RM1000 hanya mendapat tukaran 235 euro. Betapa!

Segalanya kami cari paling murah termasuk tiket train dan makanan. Jangan lupa bawa bekalan makanan dari Malaysia. Bajet kami untuk makan sehari dalam 7 euro, itupun dijamakkan pagi-tengahari (brunch). 

Air mineral pula pastikan beli yang pukal di market sebab jauh lagi murah dibanding beli satu. Lebih jimat, tadah air di paip-paip yang ada di serata tempat di Itali. Ia selamat untuk diminum.

Untuk penginapan, silalah booking penginapan berbentuk hostel kerana sangat murah berbanding hotel. Bersedialah untuk dicharge city tax (3 euro/person) sebelum menginap di mana-mana. Tak perlu rasanya untuk terlalu mewah dan selesa, kata backpacker!

Lebih penting, pastikan itinerari disusun rapi lebih awal kerana banyak perubahan akan berlaku di saat-saat akhir. Boleh rujuk tips di sini. Tak elok buat kerja last minute kerana akan menambah pembaziran masa, tenaga dan wang. Print map, sebab mungkin kita takkan jumpa map free nanti.


Contoh website perempuan backpacker

Banyakkan membaca. Rajin-rajinlah membaca blog orang yang berpengalaman ke tempat yang kita akan pergi. Peka dengan aspek keselamatan. 

IBRAH SANG PENGEMBARA

Ambillah masa kita untuk pergi mengembara, paling kurang keluar sebentar dari kawasan kebiasaan kita, melihat dunia ini untuk bertafakur pada kejadian kita, kejadian langit dan bumi sehingga membawa kita mengenal Allah dan kenal diri kita sendiri sekaligus orang lain.

"Orang yang mampu kenal diri sendiri dan orang lain, dia memiliki kecerdasan emosi." -Ustazah Norhafizah-

"Kenapa ulama'-ulama' kita selalu cadangkan safir? Agar kita tau bagaimana Allah ciptakan manusia dengan segala keunikannya." -Mila Azkiya- 

Dari travel ini, saya banyak belajar dari budaya masyarakat, nilai dan sistem. Karenah manusia sungguh menguji kesabaran saya, namun saya yakin inilah ujian Allah untuk mengukur tahap kesabaran saya, yang hakikatnya memperbaiki diri saya sendiri.

Jangan mudah melatah dengan ketidaksempurnaan perjalanan, dan belajarlah menghargai orang lain. Bagi saya, permusafiran ini bukan sekadar menambah ilmu dan pengalaman, tapi juga sebuah perjalanan spiritual yang membuatkan saya banyak merenung diri dan berfikir.

Maka berakhirlah catatan perjalanan ke Itali.



Doakan saya diberi peluang oleh Allah ke tanah suci pula selepas ini.

Amin, ya rabbal alamin.

Share:

Benvenuti in Italia 8 [ Milan: Syurga Shopaholic]

Bismillah..

Setelah check out dari Hotel Centrale yang agak murah (thats why no free wifi and kettle), kami bergerak ke destinasi terakhir, Milan. Milan (Milano dalam bahasa Itali), ialah kota utama di sebelah utara Itali. Dari Venice ke Milan mengambil masa 2 jam lebih. Alhamdulillah, train di Itali boleh dipuji kerana sangat selesa.

Tiket masuk
Rancangan awal untuk ke Duomo diubah setelah dicadangkan oleh pekerja Loreto Elite Milano agar kami melawat EXPO Milano di Rho Fiera yang mengumpulkan ratusan negara dalam sebuah pameran dengan masing-masing negara mendapat pavilion sendiri. Langkah kanan kami di Itali, bukan sahaja dapat melawat expo malah tiketnya juga hanya 5 euro kerana berkebetulan kami sampai hampir jam 6 petang. Alhamdulillah.

Beca di Pavilion Malaysia
Terjegil biji mata melihat tanda harga yang terpapar pada gerai menjual makanan di Pavilion Malaysia. Hancur hati ingin melepaskan kerinduan makan nasi lemak. Mana tidaknya, harga setiap satu makanan mencecah RM40. 

Mengucap panjang..
Pelajaran tarian Malaysia 
Qatar

Ini bukan negara. Tak sepatutnya di sini.
Kota Milan terkenal sebagai Kota fesyen dan Galleria Vittorio Emanuele di Piazza Duomo di sana merupakan salah satu tempat beli belah tertua di dunia. Malangnya, saya bukan peminat barang berjenama seperti prada, gucci, long champ dan segala macam lagi yang saya baru tahu namanya ketika di Itali. Jadi, saya tak adalah takjub sangat.



Gambar di atas ini ialah Milano Cathedral, salah satu bangunan termasyhur di seluruh Eropah. Seni binanya memang cantik, namun masjid tetap menjadi kebanggan muslim seperti kita. Di bawah ini pula Galleria Vittorio Emanuele.




Kalau menurut saya, Milan tidaklah seseronok Florence, Rome dan Venice melainkan expo yang hebat. Setelah ke Duomo, kami singgah makan di restoran Kashmir berdekatan Milano Centrale. 


Bon Appetite!

Hari ini hari terakhir, sedih itu ada untuk meninggalkan bumi Itali yang penuh sejarah. Penerbangan delay hampir setengah jam. Kami berlepas dari Milan Malpensa airport dan sempat transit di Istanbul sebelum terbang ke Kuala Lumpur. 

Oh negaraku Malaysia tercinta!

Di akhir episod "Benvenuti in Italia", inshaAllah saya akan ceritakan beberapa ibrah bersama bajet perjalanan.


[ Read the last episode.. ]

Share:

UmmuZayd

UmmuZayd
"UmmuZayd"
Inspirasi dari surah Al-Ahzab ayat 37
Zayd; nama yang pernah bersatu dengan patah perkataan Al-Quran
Zayd; nama yang terus kekal dituturkan makhluk yang membaca Al-Quran
Aku ingin menjadi Ummu Zayd
Ibu kepada insan-insan mulia ahlul Quran

Amin Ya Rabb

*Blog Ummuzayds telah bermula pada tahun 2009, dengan nama nursrikandislam, heartofsrikandi dan terkini lebih matang, ummuzayds. Enjoy your reading! ;)

Popular Posts

"umi, kami selongkar dunia maya
dan temukan catatan umi di sana"

-Anak-Anak UmmuZayd-

"Cita-cita ku adalah menginspirasi jutaan orang
meski mereka tak mengenalku,
biarlah Allah yang menilai kerja-kerjaku"

Categories

Blog Archive