"Everyday is a brand new start"

01 March 2015

Rasanya Makin Merindu


Training Terapi Makrifah - 1 Mac 2015
“Apabila tuhan membukakan bagimu suatu jalan untuk makrifat (mengenal padaNya), maka jangan menghiraukan soal ilmumu yang masih sedikit, sebab tuhan tidak membukakan bagimu melainkan Dia akan memperkenal diri kepadamu. Tidakkah kau ketahui bahwa makrifat itu semata-mata pemberian kurnia Allah kepadamu, sedang amal perbuatanmu hadiah daripadamu, maka dimanakah letak perbandingannya antara hadiahmu dengan pemberian kurnia Allah kepadamu.”
(Ibnu Athoillah)

Alhamdulillah... 

Allah beri kemudahan kami sertainya setelah ditunda sejak tahun 2014.

Seingat saya, sudah bertahun-tahun juga saya tidak menyertai program motivasi seperti zaman sekolah dulu. Jadi kenapa saya memilih Training Makrifat

Jawapannya inshaAllah.. kerana saya ingin lebih mengenali Allah. Saya yakin, 3 penceramah yang sangat saya kagumi ini : Ustazah Norhafizah Musa, Dr Azahar dan Dr Zulkifli Al Bakri mampu memberi sentuhan kepada hati yang semakin keras ini.

Seni Makrifatullah

Makrifat tidak sama dengan ilmu. Makrifat hanya dimiliki oleh jiwa-jiwa yang ingin semakin dekat dan semakin dekat dengan Allah sehingga sikapnya terbias dari asma' Allah yang indah.

“Makrifat adalah hasil dari asma-asma tauhid." 

(Syekh Abdul Qadir Al-Jailani)

Makrifat berhubung dengan zat sesuatu dan berada pada sesuatu dan kemudian hati menemuinya sedang ilmu hanya sekadar kemampuan aqal. Tidak sama orang yang menunaikan haji kerana ilmu dan hanya bergantung kepada buku-buku doa yang dibawa berbanding ahli tauhid yang mengibaratkan pergi haji seperti berjalan ke arah kematian.

Imam Tirmizi menggaris kasar hati dengan 4 peringkat:
1) Sadrun (dada)
2) Qalbun (hati)
3) Fu'ad (mata hati)
4) Lubbun (Inti hati terdalam)

Mengapa hati masih berbolak balik meskipun kita telah membasuh hati kita? Betul, kerana proses penjernihan hati belum sampai jauh ke dalam yakni 'lubbun'.

Di sinilah, kepentingan makrifatullah. Nafsu seorang ahli makrifat mampu berubah menjadi nafsu yang mutma'innah (tenang) sehingga sampai kepada cita-cita tertinggi seperti firman Allah dalam surah al-fajr (Ayat 27-30) maksudnya:
" Wahai jiwa yang tenang dan tenteram, kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan redha dan diredhai. Iaitu masuklah ke dalam golongan hambaKu ( yang soleh ). Dan masuklah ke dalam syurgaKu". 

Tawaran menarik bukan?

Impian SaMaRa

Rumahtangga adalah alat, menegakkan Islam adalah matlamat.

"Dalam hubungan suami isteri, terkadang ustazah merasakan ujian Allah sangat besar untuk kami berdua. Kami terpaksa berborak hal-hal yang berat tak seperti suami isteri yang lain. Dan ustazah hampir tewas untuk bersama suami mewujudkan Tahfiz Madinatul Huffaz." Ustazah Norhafizah berkongsi dalam satu slot.

"Suami hanya menggangguk dengan pengunduran ustazah dan terus solat. Kata suami.. 'Tak apalah, Allah ada untuk membangunkannya'" Sambung ustazah.

Oleh sebab training hanya untuk para muslimat, jadi ia tidak lari dari kisah rumahtangga. Jujur saya akui, saya banyak belajar teori kehidupan rumahtangga dari Ustazah Norhafizah Musa. 

Impian ustazah dan Dr Azahar membangunkan sebuah tahfiz akhirnya menjadi kenyataan. Seseorang yang dirahsiakan telah mewakafkan harta untuk pembinaan tahfiz. Lalu dari mana datangnya kembali semangat ustazah?

Setelah mengikuti pengembaraan ke sekolah tahfiz di Indonesia, ustazah membuat keputusan untuk kembali bekerjasama dengan suami, dengan hati baru yang lebih yakin kepada janji Allah. 

Bukan mudah membina keluarga yang bermatlamatkan Allah. Kepentingan keberkahan yang dijaga sejak awal lagi tak dinafikan menjadi antara asbab hadirnya Sakinah, Mawaddah dan Rahmah dalam sebuah perkahwinan.

Mengenali Ustazah Norhafizah Musa

Prof Muhaya menuju ke pentas setelah diminta ustazah untuk memberi sedikit perkongsian. Padahal Prof hanya datang sebagai peserta yang tidak dijangka!

Pelukan dua orang srikandi di atas pentas membuat hati ini sayu. Keduanya menitiskan air mata di hadapan para hadirin. Barangkali kedua mereka sedang berkongsi rasa yang sama.

"Terima kasih ustazah. Ustazah Norhafizah guru saya sebenarnya.." Kata Prof Muhaya dalam sebak.

Seperti Prof, salah satu sebab saya ke training adalah untuk mendengar input baru dari ustazah Norhafizah.

Mengenali ustazah Norhafizah sejak tahun 2013, saya menyedari minat kami hampir sama. Ditugaskan 2 kali sebagai PR beliau menjadi antara saat indah untuk saya belajar sesuatu dari beliau. Alhamdulillah...impian yang Allah kabulkan. 

Hebatnya seorang muslimah itu pada manfaat yang dia berikan kepada ummah walaupun sekadar menjaga anak.
-Ustazah Norhafizah-
Menjadi 'seseorang' untuk ummah memerlukan kekuatan ilmu juga ketahanan mental dan fizikal selain terus menerus memperbaiki diri dan niat. Bukan mudah.

Sesi terakhir, kami sama-sama berdoa. 

Kami hanyalah wanita akhir zaman yang berusaha menjadi solehah. Biarpun kami penuh dengan ketidaksempurnaan. 

Namun Ya Allah..kami mengharapkan untuk duduk bersama Saidatina Khadijah, Aisyah, Maryam, Fatimah dan Asiyah di syurga nanti. Dan di sana, mereka tersenyum bangga melihat kami kemudian berkata: 

'Wahai wanita dunia, selamat datang ke syurga yang kau impikan!'

Semoga Allah memelihara dan memberi kekuatan kepada Ustazah Norhafizah sekeluarga untuk mendidik umat. 

Doakan saya agar mampu bersama menyumbang untuk umat.


Mengenali-Mu, ya Allah

Rasa-rasanya makin merindu...
(Masuri S.N.)

Wallahualam.

#KL01032014

Share:

0 comments:

Post a Comment

UmmuZayd

UmmuZayd
"UmmuZayd"
Inspirasi dari surah Al-Ahzab ayat 37
Zayd; nama yang pernah bersatu dengan patah perkataan Al-Quran
Zayd; nama yang terus kekal dituturkan makhluk yang membaca Al-Quran
Aku ingin menjadi Ummu Zayd
Ibu kepada insan-insan mulia ahlul Quran

Amin Ya Rabb

*Blog Ummuzayds telah bermula pada tahun 2009, dengan nama nursrikandislam, heartofsrikandi dan terkini lebih matang, ummuzayds. Enjoy your reading! ;)

Popular Posts

"umi, kami selongkar dunia maya
dan temukan catatan umi di sana"

-Anak-Anak UmmuZayd-

"Cita-cita ku adalah menginspirasi jutaan orang
meski mereka tak mengenalku,
biarlah Allah yang menilai kerja-kerjaku"

Categories