"Everyday is a brand new start"

30 April 2015

Definisi 'bercakap'



"Aku minta kamu menggantikannya ya?"

"Menggantikan Pak Kiai menjelaskan isi Al-Hikam? Aduh, maaf Pak Kiai saya masih belum bisa. Sungguh, saya masih belum mampu memahami dan menghuraikan karya Ibnu Athoillah"


"Kamu itu jangan merendah tau Zam..kamu kan lulusan Al-Azhar. Pasti bisa."


Akhirnya, Azzam melakukannya atas dorongan Pak Kiai Lutfi. 

Mahasiswa Al-Azhar, tugasnya menabur bakti kepada ummah!

(Dari Filem Ketika Cinta Bertasbih)

**************************************************************


"Salam.
Ustazah Norhafizah Musa  minta gantikan dia kuliah dhuha muslimat tengahari ni.
Zulaikha boleh?"

"Hee berpeluh saya...tak sedia lagi huhu ilmu kurang sangat ni"

"Cara menambah ilmu yang paling berkesan ialah dengan memberi apa yang seadanya"

Walaupun atas dorongan ustazah, Zulaikha tetap tidak melakukannya kerana merasai belum cukup ilmu dan keyakinan.

Itu semua alasan. Bisikan syaitan agar kita tak cuba melakukan yang terbaik untuk agama. 

Bukankah tujuan mendalami ilmu agama selain mengamal, juga menyampaikan?


Bertahun-tahun Allah melatih saya untuk berkeyakinan bercakap. Sejak kecil, saya sangat benci ke hadapan dan bercakap. Keyakinan saya sangat rendah.

Namun Allah dengan rahmat-Nya meletakkan saya di jalan yang menjadi kebencian. Saya pernah diminta mewakili sekolah dalam pertandingan pidato. Kerana terlalu gementar, akhirnya saya terlupa skrip di pentas.

Masih jelas di ingatan, apabila ketua kumpulan dari Sekolah Alam Shah memperlekehkan saya kerana diamnya saya ketika melakukan diskusi untuk aktiviti PRS SBP.

Dengan sengaja, beliau mengarahkan saya seorang diri untuk meng'handle' kumpulan yang agak besar. Ah, hanya Allah tahu betapa geramnya saya ketika itu!

Tiket masuk ke Zoo Taiping sewaktu Kem PRS SBP 
Kebangsaan di Perak tahun 2006.
Tak sangka saya masih menyimpannya!

Nadwah Kepimpinan Islam SBP pun tetap segar dalam kotak memori. Mahu menangis rasanya bila ditakdirkan berLDK bersama pendebat sekolah dan bayangkan, kami ditugaskan berdebat!

Nyawa saya bagai telur di hujung tanduk (lebih kurang)..

Mungkin ketika itu saya belum mengetahui kisah Nabi Musa yang diciptakan sedikit kekurangan, iaitu kurang fasih berbicara. Sudahlah begitu, Allah kemudiannya menyuruhnya bertemu Firaun.


Meskipun begitu, baginda menyedari itu adalah amanah Allah dan tak boleh diabaikan. Kerana itu, Nabi Musa meminta Allah melepaskan simpulan lidahnya supaya dapat bercakap lebih lancar.



"Ya Rabbku, lapangkanlah dadaku, dan mudahkanlah urusanku, dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, supaya mereka mengerti perkataanku” 
(Surah Thoha: 25-28)

Semakin dewasa, barulah saya mengerti hikmah takdir Allah kepada perjalanan hidup saya. Tak mudah, untuk melalui semua yang menjadi kebencian yang hakikatnya, baik menurut Allah.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”
(Surah Al-Baqarah ayat 216)

Benar, pandai bercakap itu sebahagian kelebihan kurniaan Allah. Namun bagi yang tidak memiliki kelebihan itu, kita masih boleh belajar dan jangan sekali-kali memandang rendah kepada diri.


"Belon terbang bukan kerana warnanya, melainkan kerana isinya." (cahyadi)

Potensi dan kejayaan juga diukur dengan seberapa banyak yang berjaya difahami orang lain dan menggerakkan mereka untuk beramal. Juga, seberapa banyak yang bermanfaat dan memberi jalan mereka mengenal Allah. Akhirnya, berbalik kepada Allah jua.


Ustaz Norhisyam pernah bercerita tentang seorang ustaz zuhud yang banyak menulis buku. Kata beliau, "Ustaz ini Allah anugerahkan ilham yang luar biasa dan kata-katanya adalah kata-kata orang yang tidak pernah tinggalkan tahajud."

Bukan senang bercakap seperti mana Hasan Al-Banna. Kata-kata beliau padat, ringkas tetapi mantap serta memberi kesan mendalam kepada jiwa pendengar. Bukan senang berbicara seperti Ibn Qayyim, patah katanya mampu mengalirkan air mata si pendengar. Menusuk sampai ke hati.

Lalu mintalah kepada Allah, agar kita terpilih menjadi wasilah apa yang disampaikanNya.


Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sampaikan dariku walaupun sepotong ayat."

Melihat posisi ummah dalam keadaan kritikal dan begitu ramai para muslimah yang memerlukan bimbingan, saya tahu saya harus ke hadapan dengan ilmu yang Allah anugerahkan dan pengalaman yang Allah hadiahkan. 

Belajar dalam bidang agama bukan hanya untuk diri kita sendiri mendalami ilmu, tapi jauh lebih penting adalah untuk menjadi doktor kepada penyakit ummah.

Masa sedang berjalan. Ummah sedang menanti mahasiswa agama membuat perubahan.

Bercakap. Bercakap itu penat kan. Setiap patah kata dikira Allah. Astaghfirullah, berat bebanannya.

Tapi keletihan fizikal hanya keletihan yang sia-sia jika tak diiringi keyakinan ruhiyah dan niat lillah.


Wallahu'alam.


1Mei2015

Share:

24 April 2015

Yoyoh Yusroh : Sosok Mujahidah Impian


Abi, ini perjalanan umi yang terakhir,“ demikian ungkapan ustazah Yoyoh pada suaminya yang tercinta Ustaz Budi Darmawan yang kemudian dijawab, ”istighfar mi.“

Ustazah Yoyoh beristighfar kemudian mengucapkan kalimah syahadat… Maka pergilah bertemu Allah seorang mujahidah pada 21 Mei 2011.

Nama ustazah Yoyoh kerapkali ditulis di blog ini. Saya akui, Ustazah Yoyoh merupakan role model, sosok mujahidah impian, dengan hidupnya yang sederhana dan bersahaja. Kematiannya menghidupkan jiwa-jiwa manusia yang tinggal. Beliau, contoh buat para wanita dunia.

Sejak awal tahun 1980 beliau sudah bergabung dengan jemaah Parti Keadilan Sejahtera, dengan penuh semangat dan komitmen. Seluruh hidupnya diwakafkan pada dakwah ini. Sesungguhnya yang merasa kehilangan bukan hanya jemaah dakwah PKS, bukan hanya bangsa Indonesia, tapi segenap penjuru dunia, dari negara-negara ASEAN dan negara-negara Timur Tengah.

Ambil masa sejenak untuk kita menghayati hidup pejuang bernama ustazah Yoyoh Yusroh:

Pertama : Teladan Fizik yang Kuat dan Komitmen dalam menjaga kesihatan

Ustazah Yoyoh Yusroh memiliki stamina yang kuat dan kemampuan manajemen waktu yang baik. Beliau menyedari, aktiviti dakwah memerlukan energi yang luar biasa, maka beliau mempunyai komitmen yang sangat tinggi dalam menjaga kesihatan.

Beliau sangat menganjurkan para muslimah untuk menjaga kesihatan. Menekankan untuk memakan banyak sayur dan buah-buahan, serta meninggalkan segala jenis makanan segera yang berpengawet. Lebih tegas ustazah Yoyoh Yusroh menjelaskan:

“Rahim seorang wanita harus dipersiapkan untuk menghasilkan generasi yang terbaik. Jadi, makanlah hanya sesuatu yang halal dan toyyib..”

Melahirkan 13 orang anak tentu memerlukan penjagaan fizikal yang luar biasa, belum ditambahi aktiviti dakwah dan kegiatan yang sangat padat. Beliau mampu melewati hari-hari sibuknya dengan stamina yang kuat. Saat ditanya seorang akhawat tentang resepi 'fit'nya, beliau mengingatkan untuk jangan lupa memakan habbatus sauda’ dan madu.

Kedua : Kesabaran luar Biasa


Melahirkan, menjaga dan membesarkan 13 orang anak adalah hal luar biasa yang memerlukan kesabaran yang luar biasa. Beliau berpesan tentang kunci sukses membina rumah tangga :

"Dalam membina rumah tangga, yang penting prinsipnya saling memberi. Tidak ada yang superordinat atau subordinat antara laki-laki dan wanita. Sejak awal menikah komitmen itu harus ada. Lelaki dan wanita punya keistimewaan."

Berbicara mengenai visi pernikahan, ujar beliau:

"Visi pernikahan itu adalah visi dakwah. Sehingga apabila visi pernikahan telah menjadi visi dakwah, apapun masalah yang  dihadapi oleh keluarga kita, masalah itu tidaklah terlalu besar bila dibandingkan dengan masalah umat. Maka keluarga itu tidak akan memperumit masalah-masalah kecil.” 

Beliau pernah berpesan kepada para ibu muda yang sibuk mengurus bayi sehingga tidak melaksanakan solat malam bahawa bayi yang menangis tidak menjadi halangan untuk solat malam. Kata beliau:

“Insya Allah masih bisa ukhti…Yang namanya bayi, ya tugasnya memang nangis. Malah kita khawatir kalau dia tidak bisa menangis tapi diam terus. Nah, enti bisa siapkan bayi dulu dengan memmbersihkan dari najis, terus dipakai pampers, lalu menyempatkan diri wudhu’ sebentar. 

Saatnya solat, hamparkan tilam kecil di samping sajadah kita dan letakkan bayi di situ. Kalau dia menangis, jangan panik dulu, tetap teruskan solat. Tapi kalau terlihat tanda-tanda nangisnya tidak mahu berhenti, gendonglah dia sambil solat. InsyaAllah dalam dakapan si ibu, dia akan tenang kembali. Sekaligus ini memberikan tarbiyah ruhaniyah padanya, sejak kecil sudah merasakan dan menyaksikan ibunya selalu bangun untuk solat lail di sepertiga malam”.

Ketiga : Ruhiyah Tinggi

Aktiviti dakwah dan kemasyarakatan yang begitu padat akan sangat melelahkan tanpa siraman ruhiyah yang teratur. Ustazah Yoyoh Yusroh tahu dan meyakini dengan pasti hal tersebut. Kerana itu, beliau sentiasa menghiasi hari-harinya dengan ‘charger’ ruhiyah yang terus dijaga dan ditingkatkan. Tilawah dan mengulang hafalan Quran adalah rutin harian yang tak ditinggalkan.

Salim A Fillah pernah mendapati beliau bersama suami tengah asyik mengulang hafalan berdua, bergantian menyemak dan membenarkan. Secara khusus, beliau sentiasa menyelesaikan tilawah 3 juz setiap hari.

Ketika ditanya bagaimana beliau menyempatkan diri untuk tilawah sebanyak itu dalam setiap harinya, ustazah Yoyoh Yusroh menjawab dengan yakin dan mantap :

“Justeru kerana sibuk dan banyak hadapi aneka persoalan serta begitu beragam manusia, maka harus memperbanyak Al-Quran”

Bercerita tentang hubungan muslimah dan Al-Quran, pesan beliau:

“Jika badan lelah, akal masih bisa berjalan. Tidak kuat lagi bersuara untuk tilawah, bisa beralih dengan membaca tafsir. Jika akal kita lelah juga, ruh masih bisa berjalan. Membaca tafsir pun mata dan otak sudah berat, bisa beralih dengan mendengarkan tasmi’ Al-Quran. Intinya, jangan terus tidur hanya sekadar memenuhi rasa mengantuk.” 
Subhanallah.

Keempat : Penyayang dan Peduli


Panggilan bunda dan ummi menandakan tempat khusus di hati para akhawat. Seorang akhawat muda begitu terkesan saat dalam sebuah pertemuan kedua dengan beliau, ustazah Yoyoh Yusroh masih mengingat betul nama dan asalnya, serta menanyakan tentang kegiatan dan aktiviti terbarunya. Hal ini jelas menunjukkan kepedulian dan kasih sayang beliau yang tulus.

Sms terakhir beliau kepada seorang akhawat sebelum kematiannya  benar-benar menjadi pembakar semangat.

“Ya Rabb, aku sedang memikirkan posisiku kelak di akhirat. Mungkinkah aku berdampingan dengan penghulu para wanita khadijah al kubra yang berjuang dengan harta dan jiwanya? Atau dengan Hafsah binti Umar yang dibela oleh Allah saat akan dicerai kerana showwamah (rajin puasa) dan qowwamahnya (rajin tahajud) ? Atau dengan Aisyah yang telah hafal 3500 hadis, sedang aku…. 500 juga belum…atau dengan Ummu Sulaim yang shobiroh (penyabar) atau dengan Asma yang mengurus kenderaan suaminya dan mencela putranya saat istirehat dari jihad… atau dengan siapa ya?

Ya Allah, tolong beri kekuatan untuk mengejar amaliah mereka…sehingga aku layak bertemu mereka bahkan bisa berbincang dengan mereka di taman firdausMu.”

Menghayati hidup beliau, semakin diriku sedar bahawa kita bukan penduduk dunia. Berpenat lelahlah kerana Allah di sini, untuk menikmati kerehatan di 'sana'.

Lagu “Permata Tarbiyah” nyanyian Izzatul Islam masih menyapa di telinga,

kita berpisah dalam fana
kelak kita berjumpa..

Semoga kita dapat berjumpa di firdausNya kelak.


#25042015

Share:

16 April 2015

Puisi Hati : Erti Sebuah Penantian


Istimewa teruntuk jiwa-jiwa yang masih menanti
Janji Allah takkan Ia mungkiri

“… Sesungguhnya waktu (yang dijanjikan) Allah itu, pasti datang…” (Al-‘Ankabuut: 5)

Ketika rahsia dihijrahkan menjadi kata benda
Ia menawarkan pilihan
Bersabar, atau memaksa menguaknya
Bersabar menanti kejutan indah di balik rahsia
Atau, terhempas sakitnya kecewa kerana memaksa

Ukhti,
Cinta tak seharusnya ada sebelum hadiah Allah itu datang
Hadiah yang sarat  kejutan dan perhiasan kebahagiaan
Allah yang memiliki rahsia itu, maka biarlah kelak Ia yang membukanya, pada masa dan tempat yang tak masuk dalam rekaan
Dengan kesabaran, ada pintu-pintu yang terbuka dan barangkali tak terlihat ketika kita sedang sempit dada
Jelas, ketidaksabaran hanya merosakkan penantian
Sebab amat berbeza, yang dihulurkan penuh keredhaan, dibanding yang dilempar penuh kemurkaan

Ukhti, 
Menanti jodoh tak bererti menjadi pasif, lembik tidak bermaya
Alangkah naifnya bila kita malah banyak membuang waktu untuk memikirkan masalah pernikahan yang tak kunjung tiba
Jika saat ini Allah belum hadirkan jodoh, mungkin masih ada hal dalam diri kita yang perlu diselesaikan
Begitu banyak pekerjaan dan hal lain yang membutuhkan penyaluran potensi kita

Ukhti,
Optimalkanlah potensi diri
Kerana kelak jika kesibukan menjadi isteri dan ibu menghampiri kita
Pasti waktu untuk menuntut ilmu, menghafal Al-Qur'an dan hadis, bahkan untuk bertemu Allah di sepertiga malam, tentu saja akan berkurang 
Nah, kenapa tidak kita optimalkan sejak sekarang?
InshaAllah, kita bisa jadi istiqamah setelah datangnya hal yang dijanjikan

Ukhti,
Ruhiyah? Fikriyah? Maliyah? Jasadiyah? 4 elemen itu sudah dipersiapkankah?
Teruslah usahakan memperbaiki diri
Hingga kelak saat Allah hadirkan pendamping hati, ia tidak kecewa dengan diri kita nanti

Ukhti,
Menjadi isteri tak selamanya di sisi, ada masa tetap jalani sendiri
Menjadi isteri bukanlah puncak prestasi, ia adalah fasa lain dari proses penghambaan pada Ilahi
Apa saja yang sudah kau lakukan dalam penantian saat ini?

Tenanglah dalam kesabaran dan munajat
Barangsiapa yang meletakkan cinta di tempat selayaknya, mematuhi aturan main dan senantiasa bersabar, maka perjalanan cintanya bisa menyentuh jauh sekali
Dan asal kita tidak pernah kehabisan husnu dzon pada Allah, keadaan menunggu janji Allah itu datang pasti indah lagi bererti


Allah menjadi saksi tulisan ini,

Semoga Dia mengurniakan kekuatan, keyakinan dan kebaikan kepada penulis dan pembaca puisi ini.

Semoga Dia redha dan senang pada kita.

“Wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula).” (An Nuur : 26).


-Puisi ini hasil rangkuman kata-kata yang menyentuh hati saya.
#IIUM16042015
Share:

14 April 2015

Cerita Nasi Lemak


Nasi Lemak 1

Pagi ini betul-betul meng'spoil'kan. 

Baru excited sebab dapat makan nasi lemak, sayangnya rasanya tak seberapa. Seakan memakan nasi mentah semata-mata. Maka, bibir mulalah merungut penyesalan.

Pada masa yang sama, penceramah yang sedang berceramah di youtube berkata:

"Setiap pemberian Allah itu ujian, benar-benar jadi nikmat kalau disyukuri. Seperti air, mungkin kita kecewa kerana kurang manis atau dingin, tapi kalau minum dengan penuh rasa syukur, minum ini lebih dari sekadar masuknya air ke tubuh.

Kufur nikmat membuat nikmat yang ada tak ternikmati, dan yang belum ada tidak datang."

Seakan buah kelapa gugur di atas kepala. Teguran dari Allah, PASTI.

Nasi Lemak 2

Pagi yang gelap. Kini sudah terang...

Burung pun menyanyi bagaikan memahami cerianya jiwa pagi ini.

Kali ini, nasi lemak dibeli di kafe lain dan ditambah bukan hanya telur mata, tapi sosej. Orang kata, 'mewah.' Kononnya.

Sedang melalui satu jalan, seorang mak cik duduk di tepi jalan, termenung.

"Mak cik dah makan?"

"Mak cik minum je nak. Makan nantilah. Sekarang makanan mahal, karipap pun mak cik fikir banyak kali nak beli."

Hilang terus selera untuk makan nasi lemak pagi itu. Kali ini, seperti buah tembikai yang menghempap kepala.

Teguran Allah lagi. Jangan berlebih-lebihan.

Sendu Sendawa

Dalam hidup ini, ada ramai orang yang memerlukan tapi tidak meminta-minta. Mereka menjaga diri sehingga orang lain menyangka bahawa mereka orang kaya.

Allah berfirman yang bermaksud:

“(Berinfaklah) kepada orang-orang fakir yang terikat (oleh jihad) di jalan Allah; mereka tidak dapat (berusaha) di muka bumi; orang yang tidak tahu menyangka mereka orang kaya kerana memelihara diri dari meminta-minta. Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang secara paksa. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui." (Al-Baqarah:273)

Orang-orang seperti inilah yang perlu kita cari untuk diberi pertolongan.

Dalam membeli pun, kita harus berkira-kira. Melihat siapa penjualnya, keperluannya dan sebagainya. Kerana dalam rezeki yang Allah beri pada kita, ada bahagian untuk orang lain. Ada bahagian yang perlu disalurkan agar berkatNya melimpah.

Biarpun kita tak mampu memberi banyak, sedikit pun sudah memadai. Alangkah bahagianya jika kita dapat yakinkan mereka, bahawa rahmat Allah itu luas.

Teringat saya perbualan 2 orang sahabat di pasar;

"Saya teringin nak beli beg tu, tapi... takpelah,"

"Kenapa tak jadi beli?"

"Saya belum ada jawapan untuk Allah, sebab beg saya masih ada dan elok,"

Allah SWT berfirman yang bermaksud: 

“Maka ingatlah Aku nescaya Aku akan mengingatimu dan syukurilah atas nikmat-Ku dan janganlah sekali-kali kamu kufuri nikmat-Ku.” (Al-Baqarah:152).

Bersyukur itu bererti menghargai apa jua pemberian Allah. 

Bersyukur itu juga bererti memberi di jalan Allah.

Semoga Allah redha.

#15042015

Share:

10 April 2015

Kemenangan Yang Tertangguh


"Dah banyak kali doa minta kat Allah. Tak makbul pun..."

"Alah..presentation tangguh lagi. Lambatnya selesai..."

"Kenapa ni, susahnya nak lancar hafalan surah An-Nisa'.."

Kita seringkali merungut dan merungut, tanpa menghayati hikmah penangguhan Allah untuk segala yang diimpikan.

Begitulah sifat manusia yang telah disebut dalam Al-Quran:

"Dan adalah manusia bersifat tergesa-gesa." (Al Isra': 11)

Ibnu Athoillah menerangkan dalam Al-Hikam:

'Keterlambatan datangnya pemberian (Allah), meskipun sudah dimohonkan berulang kali, janganlah membuatmu patah harapan. Kerana Dia (Allah) telah menjamin untuk mengabulkan permintaanmu sesuai dengan apa yang Dia pilihkan untukmu, bukan menurut keinginan engkau sendiri. Juga dalam waktu yang Dia kehendaki, bukan pada waktu yang engkau inginkan.'

Beruntunglah bagi orang-orang yang bersabar, menanti penuh harap bahawa janji Allah akan datang sambil terus memperbaiki diri menjadi hamba Allah lebih baik.

Menyedari bahawa penangguhan Allah adalah lebih baik dari kehendaknya yang boleh jadi buruk akibatnya, buruk untuk agama dan akhiratnya.

Allah, jika hendak memberi untuk kekasihNya, pasti kekasihNya akan diuji sejauh mana yakin padaNya.

Allah, jika hendak memberi untuk kekasihNya, pasti Dia memberi yang jauh lebih baik dari yang difikirkan kekasihNya.

Apa salahnya, kita meletakkan diri kita di posisi 'kekasih Allah'. Bersangka baik kepada Allah. 

Ibrah Kisah Si Tampan

Kembali kepada kisah Nabi Allah Yusuf, si tampan yang sabar.

Pesanan Nabi Yusuf kepada salah seorang pemuda yang akan diselamatkan, tidak disampaikan kepada Raja setelah ia dibebaskan.

Syaitan laknatullah telah menjadikannya lupa setelah ia menikmati kebebasan dan dengan demikian, tetaplah Nabi Yusuf berada di penjara beberapa tahun lamanya.

.....Dan syaitan menjadikan dia lupa menerangkan (keadaan Yusuf) kepada tuannya. Kerana itu tetaplah dia (Yusuf) dalam penjara beberapa tahun lamanya. (Yusuf: 42)

Allah sekali-kali tidak menzalimi Nabi Yusuf, bahkan Allah sebenarnya mahu Nabi Yusuf keluar dari penjara dalam keadaan jauh lebih baik dan penuh 'izzah.

Benar janji Allah untuk hamba yang bersabar. Setelah Nabi Yusuf berjaya mentakwilkan mimpi Raja, Allah dengan sifat pemurahNya membersihkan nama Nabi Yusuf daripada fitnah sekaligus menganugrahkannya jawatan tinggi di negeri Mesir.

Tidakkah kita mahu mengambil pelajaran?

Malam akan berakhir dan diganti dengan siang. Laut pun ada pasang surutnya. Seperti itulah juga kesulitan akan berganti kemudahan.

Kemenangan, kebahagiaan, juga kenikmatan yang dirindukan pasti akan datang. Asal kita mahu menjadi hamba Allah yang yakin, bersyukur, sabar dan terus istiqamah dalam ketaatan.

Pesan sahabat saya apabila diuji, "Mungkin kita masih kurang munajat dengan Allah.."


Kemenangan Islam

Antara hikmah tertangguhnya kemenangan Islam adalah untuk 'penapisan'. Siapa yang benar-benar beriman dan siapa yang tidak.

Hal ini disebut Syed Qutb:

"Allah akan beri ujian yang besar, kemudian Allah akan lambatkan kemenangan, kemudian Allah akan sikitkan bilangan, kemudian Allah akan lambatkan penerimaan orang, sehingga terbukti mereka sabar, thabat dan bersedia, sehingga mereka layak menjadi Qaedah Sulbah (anggota teras), kemudian mereka akan bergerak ke hadapan.”

Firman Allah bermaksud:

“Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.” (Muhammad: 31)

Demikianlah, yang akan kekal bersama Islam hanyalah mereka yang menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah serta menyediakan diri untuk menanggung segala bebanan.

”Ya Allah, izinkanlah kami untuk mengingati dan merindui pertemuan denganMu dalam setiap saat hidup kami...
Kami yakin mati itu benar, sakaratulmaut itu benar...segala janjiMu adalah benar....
Siapa lagi Ya Allah, yang amat benar dan tiada dusta dalam janjinya melainkan Kamu."

#IIUM10042015
Share:

UmmuZayd

UmmuZayd
Inspirasi dari surah Al-Ahzab ayat 37
Zayd; nama yang pernah bersatu dengan patah perkataan Al-Quran
Zayd; nama yang terus kekal dituturkan makhluk yang membaca Al-Quran
Aku ingin menjadi Ummu Zayd
Ibu kepada insan-insan mulia ahlul Quran

Amin Ya Rabb

Popular Posts

"umi, kami selongkar dunia maya
dan temukan catatan umi di sana"

-Anak-Anak UmmuZayd-

"Cita-cita ku adalah menginspirasi jutaan orang
meski mereka tak mengenalku,
biarlah Allah yang menilai kerja-kerjaku"

Categories