"Everyday is a brand new start"

30 November 2015

Memilih Mati


Bismillah...


Berbekallah dengan amal taqwa.

Apabila berlabuhnya malam, siapa yang pasti hidup di subuh hari esok.

Berapa ramai anak muda yang ketawa berdekah-dekah rupa-rupanya kain kafannya telah dikoyakkan sedang dia tidak tahu.

Berapa ramai anak kecil yang diharap panjang umurnya tapi telah merasai gelapnya kubur.

Berapa ramai para pengantin yang diandam seindahnya tetapi sebelum datang malam indahnya disentap nyawanya terlebih dahulu.

Berapa ramai orang sihat mati tiba-tiba dan berapa ramai orang sakit tapi panjang pula umurnya.

-Syair hukama'

Kita diberi peluang oleh Allah untuk mati.
Maka kita harus memilih bagaimana untuk mati.
Peluang hanya sekali.

"Ya Allah, pilihlah kami untuk mati dalam husnul khatimah. Dengan cara yang baik, di waktu yang baik, di tempat yang baik, dalam keadaan Engkau paling redha dengan kami dan kamipun redha padaMu."

Kata Allah: "Wahai jiwa yang tenang dan tenteram kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan redha dan diredhai. Iaitu masuklah ke dalam golongan hambaKu (yang soleh). Dan masuklah ke dalam syurgaKu". (Surah Al-Fajr: Ayat 27-30)


Ini adalah Syeikh Abdur Razzaq al Halabi, di antara guru terkemuka di bumi Syria yang faqih dalam qiraat 10. Beliau meninggal dunia semasa membaca Al-Qur'an. Jari kanan bersyahadah, jari kiri menunjuk ayat.

Demikianlah, seseorang meninggal sesuai dengan kebiasaannya.

Subhanallah..Indahnya kematian ketika sujud.
Apa yang terlintas di fikiran anda bila terdengar kematian?

Ada orang sangat merindukan syurga. Ada orang jadi takutkan azab neraka. Ada orang masih merasa jauhnya kematian. Dan, ada orang tak sabar berjumpa Tuhan. Syaratnya berjumpa Tuhan, bukankah kematian?

Senyuman insan yang terpilih menjadi tetamu Allah
dan meninggal dunia di tanah suciNya.
Marilah kita merenung kisah hamba-hamba Allah yang benar-benar memanfaatkan hidupnya. Hidup dan mati dalam kemuliaan.

Lihat Mus'ab bin Umair yang membawa bendera dengan keberanian luar biasa. Dia telah syahid terkena 80 tusukan pedang di badannya di samping bendera yang dibawa.

Abdullah bin Jahsy pernah berdoa:
“Ya Allah, pertemukanlah aku dengan musuh yang jahat dan buas. Aku akan melawannya dan aku tewas ditangannya. Dia kemudian memotong hidung dan telingaku”
Ketika perang Uhud berakhir, ternyata Allah memakbulkan doanya. Para sahabat menemukan jasadnya tewas sepertimana doanya. Hidung dan telinganya tergantung pada seutas tali.

Ini hanya sebahagian kisah orang-orang cemerlang. Dan kita memiliki peluang yang sama oleh Allah. Berdoalah agar Allah berikan kita kemampuan untuk memaksimakan segala modal yang Allah berikan untuk mati dalam kemuliaan.

Tok Guru, kematiannya menghidupkan.
Pakar psikologi memberitahu cara untuk tenang adalah ingat mati. INGAT, bukan takut. Kerana mati itu tiada pilihan kecuali kepastian. Mati itu motivasi. Motivasi itu bukankah menyelamatkan, bukan menakutkan?

Mengingati mati, menghilangkan lelahnya menghadapi ujian dunia. Menghilangkan rasa cemburu pada manusia. Mengingati mati itu menghidupkan jiwa-jiwa. Kerana mati, boleh datang bila-bila masa.

Kita semua perlu berjuang dalam sebuah perjuangan husnul khatimah. 

Kita pasti akan mati. 

Dan kita mati mengikut bagaimana kita hidup di dunia ini.
Share:

27 November 2015

Hidangan Yang Indah


Gambar menjadi Fasi di Kem Rakan Quran
Bismillah...

(Allah) yang Maha Pengasih. Yang telah mengajarkan Al Qur’an. (Surah Ar-Rahman :1-2)

Mereka ini suci.
Mereka ini tulus.
Mereka inilah yang digelar Qurratu a'yun.

Alhamdulillah, semalam baru selesai Kem Rakan Quran di Pusat Tahfiz Darul Hafidzin selama 5 hari. Syukur, Allah menggerakkan hati, melapangkan jalan di celah kesibukan yang mengejar, untuk bersama kanak-kanak ini. Inilah kali pertama saya menjadi fasi kepada kanak-kanak 7 & 8 tahun. 

Mereka sangat muda!


Slot mengenalkan neraka
Dalam keletihan tak cukup rehat dan tidur, bila berjumpa semula dengan mereka bagaikan muncul kekuatan luar biasa. Lebih-lebih lagi, bila ditasmi' ayat Al-Quran. Subhanallah..inilah mukjizat luar biasa Al-Quran.

Saya fikir tarbiyah yang diberikan kepada mereka sangat hebat biarpun mereka masih kecil. Bila kami tayangkan video untuk dicari gali moral, mereka bersuara sebaliknya.

"Eh ustazah, diorang tak tutup aurat!"
"Ustazah, kenapa dia makan tangan kiri? Kan tak baik?"

Dan bila ustazah main game "Ustazah kata..", lalu ustazah suruh pegang rambut. Banat bersuara.

"Ustazah, tak boleh pegang rambut. Kami kan pakai tudung."

Kami fasi-fasi tersenyum. Mereka sungguh suci.  


Gembira melihat mereka didisiplinkan dengan kehidupan Islam yang sebenar dan mengamalkan sunnah-sunnah rasul yang kian dilupakan. Alangkah bagus jikalau kanak-kanak yang lain di luar sana pun turut ditarbiyah hal yang sama. Ini kerja siapa? Ya, bukan sahaja peranan ibu bapa tapi perlu kerja kuat kita semua.



Dalam kalangan banin dan banat, ada yang telah banyak menghafal Al-Quran, dan bila diperdengarkan subhanallah.. bacaan mereka bertajwid dan lancar. Berbeza benar dengan saya sendiri sewaktu seusia mereka dulu.

Bila tiba waktu solat pula, masing-masing berebut menjadi imam, bilal, dan membaca doa. Allahu Akbar, ini sebenarnya yang kita mahukan kepada pendidikan awal anak-anak.

Fastabiqul khairat..Berlumba-lumba membuat kebaikan!

Video yang saya tayangkan sewaktu slot. Melihat kembali 
video ini membakarkan semangat.

Inilah kegembiraan yang dicari dalam kesibukan. 

Satu perasaan bertuah dan bahagia di saat dapat didekatkan kepada Al-Quran melalui mengenalkan dan mengajar mereka tentang Al-Quran.

Nikmat bersama Al-Quran antara satu nikmat yang paling indah. Dipilih Allah untuk melihat Al-Quran, membaca, mengajarkan dan bersama dalam saf perjuangan mendaulatkan Al-Quran.

Hanya pertolonganNya yang sempurnakan usaha ini.

Semoga, usaha ini menjadi kemudahan untuk zuriat keturunanku kelak menjadi hamalatul Quran, penyambung tugas mendaulatkan Al-Quran di muka bumi.

Allah telah berjanji di dalam Al-Quran:

"Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan." (Surah An-Nahl:97)


Share:

20 November 2015

Sakitnya Tu Di Sini

Selepas accident 2016 di USIM
Bismillah..

“Dan Kami lebih 'dekat' kepadanya daripada urat lehernya” (Qoof: 16)

Apa erti "dekat" bagi kalian? 

Dekat jasadiah atau batiniah? 

Saya mendalami "dekat" itu tadi. Ketika tayar kereta saya bocor di tengah jalan yang sibuk. Allahu Akbar.

Bayangkan tiba-tiba tayar yang elok itu bocor. Saya perlahankan kereta dan ke sebelah kiri jalan. Tangan saya menekan hazard light. Saya tidak berani untuk berhenti di tepi jalan, maka saya paksakan kereta bergerak dengan tayar yang sudah tak bermaya. 

Sebenarnya, apa yang paling menakutkan adalah saya sendirian!

Di saat kritikal inilah saya teringat kisah seseorang. Kereta beliau rosak tiba-tiba, dan orang pertama yang beliau ingat adalah suami! Walaupun tahu suami itu jauh, dan tak dapat membantu pun tapi suamilah yang paling dia harapkan.

Lalu beliau berpesan sebagai muhasabah untuk diri sendiri, "Kenapa tidak kita meminta kepada yang paling dekat?"

Tapi persoalannya, siapa yang paling dekat dengan kita?


Meminta kepada Allah yang paling dekat, bertawakkal, dan sempurnakan usaha dengan memohon pertolongan sahabat. Saya akhirnya berhentikan kereta di tepi jalan yang tidak berapa jauh dari shell. Saya keluar dan hanya mampu merenung tayar.

Sedih. Banyak mata yang memandang, tapi tak satupun yang mahu memberi pertolongan. Tidak lama, sebuah kereta berhenti, kemudian keluar seorang lelaki yang agak berusia dan seorang lagi mungkin sahabatnya. Dari jauh mereka bertanya:

"Bakpo keto?" Oh Kelantan rupanya. Rasa sedikit lega kerana berhusnu dzon orang pantai timur baik-baik belaka. Uhuk!

Setelah meneliti keadaan tayar yang kebocoran agak teruk, alhamdulillah mereka memberi pertolongan sepenuh hati bermula menukar tayar di bawah panas terik, pam dan subhanallah, menolak untuk dibayar!

Pak cik sempat bercerita, mereka dalam perjalanan mengambil anak di Bentong yang mahu balik bercuti. Anak beliau sekolah agama di sana. Alhamdulillah, Allah menghantar orang baik.

Dan sebenarnya, hati ini terasa paling sebak memikirkan dan merenung kata-kata pak cik seterusnya:

"Dik, sebenarnya tadi kitorang nak berhenti di Petronas, tapi entah kenapa kami tak jadi dan pilih untuk pergi ke shell. Dan ternampak adik dari jauh."

Subhanallah. Subhanallah. Tiada kebetulan tapi segalanya perancangan Tuhan. Allah jualah yang menguasai hati-hati insan.

Allah memang terlalu dekat. Kisah ini hakikatnya untuk mengingatkan diri sendiri yang selalu lupa bersyukur. Semoga turut menjadi jalan untuk pembaca lebih bersungguh memohon kepada Allah yang dekat.

Kau yang berhak disembah
Pemerintah alam
Tempat mengadu segalanya

PadaMu cinta teragung
Kaulah zat yang Esa
Tiada seperti makhluk ciptaan
Pada gambaran pasti bukan Dia

-Cinta yang Teragung (Mestica)

Allah berfirman: "Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat." (Al-Baqarah:186)

Share:

18 November 2015

Kenapa "DOWN"?


Bismillah...

Pabila laluan seakan sukar 
Bagai tak terdaya untuk terus bertahan
Namun kasihMu menyedarkan
Aku tak pernah sendirian

Ke mana semangat menghilang?

"Sesiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan." (Surah Yusuf:90)

Ada masanya, semangat kita yang berkobar-kobar mulai surut entah ke mana. Ada ketikanya, perasaan kita berbolak balik hilang tenangnya. Ada saatnya pula, kita tercari-cari kekuatan dari niat yang kita sematkan. Ada saatnya, kita tewas jua dari meyakini janji-janji di dalam ayat-ayatNya.

Itulah kehidupan, yang tidak selalu indah dan lancar, tidak juga selalu tenang dan bahagia. 

Orang-orang menjadikan FB, Twitter, Instagram, blog dan seumpamanya sebagai tempat meluah rasa. Sunyi, lemah, sedih, kecewa dan bermacam lagi rasa. Beberapa orang yang lain mencari-cari manusia yang sudi mendengar masalah, lalu dijadikan tempat meluah rasa. 

"Tolong kuatkan saya, saya sangat lemah..."

Ah, memang itu juga fungsi manusia kan. 

Seringkali, melakukan itu semua tak pernah menyelesaikan masalah. Hati yang tadinya tenang rupanya hanya sebentar. Allahu Allah. Mengapa jadi begini?

"Lah, kenapa baru sekarang kau memanggilKu?" Tanya Allah.

Kita seringkali lupa kepada Allah yang maha kuasa, maha kaya, maha mencukupkan, maha segala-galanya. Untuk memulihkan sakit di hati kita, cukup mudah bagiNya. Oh, rupa-rupanya kita hanya memberi sisa kepadaNya.

Padahal untuk menghayati dan menghilangkan kesedihan dari ayat suciNya pun kita perlu meminta kepadaNya. Duhai jiwa yang lemah, perasaan ini mutlak hakNya!

Mari sejenak kita beristighfar atas dosa-dosa kita. Istighfarlah juga atas istighfar kita yang penuh kelalaian. Buang sombong itu jauh-jauh. Jangan pernah mengaku kuat tanpa Allah.

Kita hamba yang selalu lupa, bahawa segala yang kita lakukan di dunia ini perlu semata-mata keranaNya. Hatta amal yang dilihat kecil dan remeh oleh manusia pun sebenarnya terlalu bernilai jika tujuannya mempersembahkan yang terbaik buatNya. 

Sehingga di hadapan Allah nanti, kita mampu tersenyum mengatakan "Wahai Allah, inilah amal-amalku yang manusia perkecilkan. Sesungguhnya, aku melakukan ini semua tidak lain hanya untukMu Tuhan." Subhanallah, indah bukan?

Kenapa tidak kita gegarkan diri sendiri supaya sedar bahawa kita hamba Dia, bukan manusia. Dalam hidup ini, bukan hak kita yang perlu ditagih-tagih untuk dipenuhi tapi kebahagiaan itu akan datang ketika kita sedar peranan kita sebagai hamba Ilahi.

Letakkan tangan di dada dan rasai denyutan jantung pemberianNya. Hati ini, sememangnya perlu dirawat dengan rasa syukur. Kenapa masih terkial-kial mencari apa yang harus disyukurkan sedangkan nikmat iman dan Islam itu pemberian Allah paling mahal tak ternilai. 

Ubat setiap masalah itu sangat dekat dengan diri kita. Bayangkan, kita diberi ubat ketika sakit, tapi kita tak mahu memakannya. Rugi kan?

Kita diberi Allah solusi dari qiamullail, bacaan Al-Quran, zikir, majlis ilmu dan ibadah sunat yang menguatkan cinta, wah begitu banyak, tapi kita sanggup sia-siakan?


Ya Allah, dengan pengetahuanMu pada yang ghaib dan kuasaMu atas makhlukMu, hidupkanlah kami Ya Allah sekiranya kehidupan itu baik untuk kami, dan matikanlah kami sekiranya kematian itu baik untuk kami.

Kami memohon rasa takut padaMu dalam keadaan terang-terangan mahupun sunyi. Kami mohon Ya Allah perkataan yang benar pada saat redha dan saat marah.

Kami mohon Ya Allah kesederhanaan saat kaya dan miskin. Kami mohon Ya Allah kenikmatan yang takkan pernah putus, dan keredhaan atas semua yang Kau tetapkan.

Ya Allah, kami mohon kehidupan yang damai setelah mati. Kurniakanlah kami nikmat dapat melihat wajahMu, serta kerinduan untuk bertemu denganMu.

Jadikanlah kami orang yang mendapat hidayah dan menebarkan hidayah kepada orang lain.

Amin ya Rabb.

Share:

09 November 2015

Tak Kenal Maka Tak Cinta


Gambar sekadar hiasan
3 orang anak gadis sedang berborak tentang makanan.

Gadis 1: Sedapnya asam pedas ni... dahla pekat!
Gadis 2: Asam pedas ni tak sedaplah.. sebab kakak ipar saya masak lagi sedap.
Gadis 3: Betul..macam tomyam. Sebab tu saya tak pernah beli tomyam tempat lain. Mak saya punya tomyam je paling sedap.

Saya cuba kaitkan dialog di atas dengan Islam dan Al-Quran.

Semestinya bila seseorang itu sudah merasa 'izzah dengan Islam, pastinya hanya agama itu tetap sempurna di hatinya. Begitu juga bila seseorang merasa cukup dengan Al-Quran, solusi apapun untuk menenangkan hati yang lara pasti tak sehebat Al-Quran.


Lirik lagu Khawateer yang menginspirasikan.

Saya ada menonton rancangan Khawateer yang dihoskan oleh Ahmed Al Shugairi. Topik episod tersebut ialah "Arihna biha ya Bilal" (rehatkan kami dengan solat ya Bilal). Pengacara menyebut ayat dari surah Al-Baqarah ayat 155:


"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar."

Hasil statistik menunjukkan negara Jepun antara 10 negara teratas kadar bunuh diri. Ada yang stress kerana kerja lalu bunuh diri. Apabila mereka sudah tak mampu melawan penyakit dan membayar hutang, mereka selesaikan masalah dengan bunuh diri. 

Betapa banyak buku diletakkan di perpustakaan Jepun untuk beri semangat agar bunuh diri bukan solusi masalah. Malah sistem keselamatan diketatkan di stesen kereta api agar penduduk Jepun tak cuba membunuh diri. 

Begitulah bertuahnya orang beriman, mereka ada Allah untuk meminta tolong. Allahu Akbar. 

Ayat 155 surah Al-Baqarah disambung dengan ayat 156 yang menunjukkan solusi bagi masalah orang mukmin:

"(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

Sesiapa yang kembali pada Allah dengan meminta tolong padaNya, PASTI akan bertemu ketenangan dan jalan keluar. Subhanallah.

Minggu lepas, saya menemuramah beberapa orang wanita yang menceritakan masalah mendidik anak-anak di zaman kini. Kami cuba berdiskusi tentang solusi. Dalam keadaan tekanan kos hidup yang tinggi, ibu bapa yang sibuk bekerja tidak mampu mengawasi anak-anak yang berkembang bersama arus teknologi dan media sosial. Kes-kes pornografi dan jenayah remaja kian bertambah. Vape pun sudah mampu dihisap kanak-kanak kecil. Menyedihkan.

Dalam hati ini ada rasa gentar untuk mendidik generasi terutamanya anak-anak sendiri nanti. Sudahnya, kami menemukan solusi yang sama, iaitu TAUHID.

Dengan mengenali Allah menerusi nama dan sifat kebesaran-Nya, diri sendiri dan anak-anak akan mengenali sifat-sifat kesempurnaan Allah. Maka akan timbullah rasa kasih, malu, kagum, sayang, takut, harap, hina, rindu, cinta dan lain-lain dalam diri. Seterusnya, rasa mempengaruhi tindakan, percakapan dan perasaan. 

“Tak kenal maka tak cinta.” Untuk cinta, mesti kenal. Maksudnya, jika seorang anak itu benar-benar kenal Allah, maka sudah pasti ia cintakan Allah. Dan apabila dia telah cintakan Allah, maka dengan sendirinya lahir perbuatan-perbuatan yang selaras dengan rasa cintanya itu. Apa yang Allah suka, dilakukannya. Apa yang Allah benci, ditinggalkannya." -Ustaz Pahrol

Maaf, setakat ini satu-satunya solusi yang saya temukan adalah menguatkan hubungan kita dan keluarga dengan Allah.

Menterjemahkan prinsip Allah Dulu, Allah Lagi, Allah Terus.

Mohon doakan saya. 

Wallahu'alam.
Share:

UmmuZayd

UmmuZayd
Inspirasi dari surah Al-Ahzab ayat 37
Zayd; nama yang pernah bersatu dengan patah perkataan Al-Quran
Zayd; nama yang terus kekal dituturkan makhluk yang membaca Al-Quran
Aku ingin menjadi Ummu Zayd
Ibu kepada insan-insan mulia ahlul Quran

Amin Ya Rabb

Popular Posts

"umi, kami selongkar dunia maya
dan temukan catatan umi di sana"

-Anak-Anak UmmuZayd-

"Cita-cita ku adalah menginspirasi jutaan orang
meski mereka tak mengenalku,
biarlah Allah yang menilai kerja-kerjaku"

Categories