"Everyday is a brand new start"

30 November 2015

Memilih Mati


Bismillah...


Berbekallah dengan amal taqwa.

Apabila berlabuhnya malam, siapa yang pasti hidup di subuh hari esok.

Berapa ramai anak muda yang ketawa berdekah-dekah rupa-rupanya kain kafannya telah dikoyakkan sedang dia tidak tahu.

Berapa ramai anak kecil yang diharap panjang umurnya tapi telah merasai gelapnya kubur.

Berapa ramai para pengantin yang diandam seindahnya tetapi sebelum datang malam indahnya disentap nyawanya terlebih dahulu.

Berapa ramai orang sihat mati tiba-tiba dan berapa ramai orang sakit tapi panjang pula umurnya.

-Syair hukama'

Kita diberi peluang oleh Allah untuk mati.
Maka kita harus memilih bagaimana untuk mati.
Peluang hanya sekali.

"Ya Allah, pilihlah kami untuk mati dalam husnul khatimah. Dengan cara yang baik, di waktu yang baik, di tempat yang baik, dalam keadaan Engkau paling redha dengan kami dan kamipun redha padaMu."

Kata Allah: "Wahai jiwa yang tenang dan tenteram kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan redha dan diredhai. Iaitu masuklah ke dalam golongan hambaKu (yang soleh). Dan masuklah ke dalam syurgaKu". (Surah Al-Fajr: Ayat 27-30)


Ini adalah Syeikh Abdur Razzaq al Halabi, di antara guru terkemuka di bumi Syria yang faqih dalam qiraat 10. Beliau meninggal dunia semasa membaca Al-Qur'an. Jari kanan bersyahadah, jari kiri menunjuk ayat.

Demikianlah, seseorang meninggal sesuai dengan kebiasaannya.

Subhanallah..Indahnya kematian ketika sujud.
Apa yang terlintas di fikiran anda bila terdengar kematian?

Ada orang sangat merindukan syurga. Ada orang jadi takutkan azab neraka. Ada orang masih merasa jauhnya kematian. Dan, ada orang tak sabar berjumpa Tuhan. Syaratnya berjumpa Tuhan, bukankah kematian?

Senyuman insan yang terpilih menjadi tetamu Allah
dan meninggal dunia di tanah suciNya.
Marilah kita merenung kisah hamba-hamba Allah yang benar-benar memanfaatkan hidupnya. Hidup dan mati dalam kemuliaan.

Lihat Mus'ab bin Umair yang membawa bendera dengan keberanian luar biasa. Dia telah syahid terkena 80 tusukan pedang di badannya di samping bendera yang dibawa.

Abdullah bin Jahsy pernah berdoa:
“Ya Allah, pertemukanlah aku dengan musuh yang jahat dan buas. Aku akan melawannya dan aku tewas ditangannya. Dia kemudian memotong hidung dan telingaku”
Ketika perang Uhud berakhir, ternyata Allah memakbulkan doanya. Para sahabat menemukan jasadnya tewas sepertimana doanya. Hidung dan telinganya tergantung pada seutas tali.

Ini hanya sebahagian kisah orang-orang cemerlang. Dan kita memiliki peluang yang sama oleh Allah. Berdoalah agar Allah berikan kita kemampuan untuk memaksimakan segala modal yang Allah berikan untuk mati dalam kemuliaan.

Tok Guru, kematiannya menghidupkan.
Pakar psikologi memberitahu cara untuk tenang adalah ingat mati. INGAT, bukan takut. Kerana mati itu tiada pilihan kecuali kepastian. Mati itu motivasi. Motivasi itu bukankah menyelamatkan, bukan menakutkan?

Mengingati mati, menghilangkan lelahnya menghadapi ujian dunia. Menghilangkan rasa cemburu pada manusia. Mengingati mati itu menghidupkan jiwa-jiwa. Kerana mati, boleh datang bila-bila masa.

Kita semua perlu berjuang dalam sebuah perjuangan husnul khatimah. 

Kita pasti akan mati. 

Dan kita mati mengikut bagaimana kita hidup di dunia ini.
Share:

1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete

UmmuZayd

UmmuZayd
"UmmuZayd"
Inspirasi dari surah Al-Ahzab ayat 37
Zayd; nama yang pernah bersatu dengan patah perkataan Al-Quran
Zayd; nama yang terus kekal dituturkan makhluk yang membaca Al-Quran
Aku ingin menjadi Ummu Zayd
Ibu kepada insan-insan mulia ahlul Quran

Amin Ya Rabb

*Blog Ummuzayds telah bermula pada tahun 2009, dengan nama nursrikandislam, heartofsrikandi dan terkini lebih matang, ummuzayds. Enjoy your reading! ;)

Popular Posts

"umi, kami selongkar dunia maya
dan temukan catatan umi di sana"

-Anak-Anak UmmuZayd-

"Cita-cita ku adalah menginspirasi jutaan orang
meski mereka tak mengenalku,
biarlah Allah yang menilai kerja-kerjaku"

Categories