"Everyday is a brand new start"

28 April 2016

Inspirasi Yang Hilang




Bismillah..

Alhamdulillah, akhirnya saya punya ruang menulis sesuatu tentang arwah yang sangat saya kagumi. Anak-anak arwah iaitu sepupu-sepupu saya banyak berkongsi di dada facebook tentang abah mereka. Di ruangan ini, izinkan saya mencatat sesuatu yang saya saksikan dari arwah bapa saudara saya sepanjang hidup beliau yang menjadikan beliau antara inspirasi terbesar dalam hidup saya sejak kecil. Semoga dengan ini, kenangan bersama beliau terus menjadi semangat untuk memburu kehidupan yang diredhaiNya.

Tepat jam 4.20 pagi pada 26 April 2016, Ustaz Datuk Dr Mohd Ali Baharum telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kajang dan dikebumikan di tanah perkuburan Sg. Tangkas. 2 hari sebelumnya, Ayah De dimasukkan ke hospital dan saya difahamkan jantung beliau sempat berhenti selama 17 minit. Entah kenapa ada rasa tidak sedap hati kali ini. Saya berniat untuk menziarahi Ayah De bersama adik di hospital pada hari selasa. Ya, saya memang menziarahi beliau tapi bukan di hospital. Jam 5.20 pagi saya mendapat khabar di whatsapp famili, bahawa Ayah De telah pergi untuk selama-lamanya.

Innalillahi wainna ilaihi rajiun….
Dari ALLAH kita datang
KepadaNya kita pasti pulang


Satu demi satu kenangan bersama Ayah De terlintas di fikiran saya bagai sebuah filem yang dimainkan semula bermula dari kecil sehingga dewasa. Seorang pejuang yang menjadi inspirasi hidup saya telah pergi dan tidak akan kembali lagi. Seorang bapa saudara yang selalu tersenyum menyambut ketibaan kami di teratak indah beliau. Sambutan Ayah De kepada tetamu selalu luar biasa meskipun dalam keletihan dan kesibukan.

Perginya Ayah De di waktu tahajud beliau. Ayah De seorang yang mendawamkan qiamullail. Justeru itu kata-kata yang keluar di bibirnya seperti cahaya. Masa-masa makan bersama pasti tak kosong dari nasihat dan cerita-cerita beliau yang dapat dijadikan pengajaran. Ayah De itu orang besar, tinggi pangkatnya, namun rendah dirinya kepada tak kira siapa.

Di hujung usia tuanya, saya mengintai-intai perlakuan beliau. Beliau memang selalu ke masjid. Suatu waktu, saya lihat seseorang sendirian di meja yang penuh dengan kitab Arab. Oh, itu Ayah De. Beliau sedang menyalin nota Bahasa Arab. Di usia begini? Bukankah beliau memang pakar Bahasa Arab? Malunya saya. Katanya untuk memahami kitab tafsir, subhanallah. Saya meringankan mulut menyembang. Ah, sudah.. Ayah De ajak berbual dalam Bahasa Arab. Ayah De pesan cakap je, jangan takut salah. Alhamdulillah, laju pula saya berbual dengan beliau dalam Bahasa Arab. Sesekali beliau meminta diperbetulkan, dan kadang-kadang ayat saya dibaiki beliau.



Ayah De memang rajin membaca. Lihat sahaja di rumah beliau, ada satu bilik khas yang menyimpan buku-buku dan kitab. Sifat cinta ilmu beliau sangat saya kagumi sejak kecil. Dari beliau, saya menyimpan hasrat mewujudkan perpustakaan di rumah sendiri nanti. Bila orang membaca buku-buku kita, kita sekali mendapat saham akhiratnya.


Teringat kenangan ketika kecil, saya sedikit gerun kepada beliau. Ayah De bukan orang yang suka marah-marah apalagi panas baran, itu jauh sekali. Kata-katanya selalu lembut tetapi ada ketegasan terutamanya bila tiba waktu solat. Pasti kami disuruhnya solat berjemaah dan berhenti bermain. Atas sebab itu, saya selalu lari kalau nampak Ayah De. Bukan tak nak solat tapi kecut perut. Sampailah satu ketika, kami sepupu sepapat sedang bermain kad, tiba-tiba Ayah De muncul minta izin main sekali. Riuh kami bermain dan sejak itu saya tak lagi takut- takut dengan Ayah De.

Catatan ini hanya sebahagian kisah, semoga juga dapat menjadi inspirasi untuk kalian.

Ayah De telah pergi jauh. Syukur saya sempat melihat wajah tenang beliau kali terakhir sebelum dikafankan. Ramai yang menangisi kematian beliau. Langit juga begitu. Hati saya juga begitu. Saya kehilangan salah seorang inspirasi, seorang yang menasihatkan saya mencintai ilmu sampai hujung usia, seorang yang mengajar saya bagaimana membina keluarga yang diredhai-Nya, seorang yang mendidik hati saya untuk merendah diri kepada sesiapa sahaja, seorang yang tak lelah memberi nasihat berharga dan menghadirkan kegembiraan untuk begitu ramai manusia. Beliau telah selesai menanam di dunia, insyaAllah semoga Ayah De kini berada di syurga, dekat dengan kekasihnya.


Amin Ya Rabb.

Bila Tiba Saat Berganti Dunia
Alam Yang Sangat Jauh Berbeda
Siapkah Kita Menjawab Semua
Pertanyaan

Share:

UmmuZayd

UmmuZayd
"UmmuZayd"
Inspirasi dari surah Al-Ahzab ayat 37
Zayd; nama yang pernah bersatu dengan patah perkataan Al-Quran
Zayd; nama yang terus kekal dituturkan makhluk yang membaca Al-Quran
Aku ingin menjadi Ummu Zayd
Ibu kepada insan-insan mulia ahlul Quran

Amin Ya Rabb

*Blog Ummuzayds telah bermula pada tahun 2009, dengan nama nursrikandislam, heartofsrikandi dan terkini lebih matang, ummuzayds. Enjoy your reading! ;)

Popular Posts

"umi, kami selongkar dunia maya
dan temukan catatan umi di sana"

-Anak-Anak UmmuZayd-

"Cita-cita ku adalah menginspirasi jutaan orang
meski mereka tak mengenalku,
biarlah Allah yang menilai kerja-kerjaku"

Categories