"Everyday is a brand new start"

19 July 2017

Celebrate the Differences [Aisyah: Biarkan Kami Bersaudara]

Bismillah..


Karena Tuhan Maha Pengasih, Tidak Ada Agama Yang Meminta Pemeluknya Untuk Saling Membenci -Aisyah


Jika sekarang sedang popular dengan lagu Aisyah... jangan ragu-ragu dengan cinta ini.., saya pula dah jatuh hati dengan filem Indonesia (lagi) berjudul 'Aisyah: Biarkan Kami Bersaudara'. Pada awalnya, saya menganggapi filem ini biasa-biasa sahaja. Tapi setelah membaca beberapa reviews (wajib sebelum menonton) saya yakin ada sesuatu yang boleh diambil ibrah melalui Aisyah. 

Siapa Aisyah?

Aisyah itu karakter utama dalam filem ini. Seorang perempuan yang cantik lagi nekad. Masakan tidak, berani benar dia nekad mengajar di tempat yang majoriti penduduknya beragama Katolik. Satu-satunya muslim, perempuan berhijab pula, ditempatkan di desa Derok, Nusa Tenggara Timur jauh dari keluarga.  

Anak butuh diyakinkan dia mampu, bukannya diingatkan apa yang akan terjadi kalau ia gagal.-Aisyah

Akhirnya, ibu Aisyah akur dengan kenekadan Aisyah. Barangkali Aisyah ini sudah terdidik dengan kata-kata ayahnya yang turut sama saya merasai dalam maknanya.

Sarjana hebat itu bekerja demi orang lain, bukan untuk dirinya sendiri. -Ayah Aisyah

Dalam hidup ini, kita tidak boleh sekadar mengejar kerjaya hebat, yang membawa kekayaan melimpah ruah dan nama yang disanjung tinggi. Hidup ini bukan untuk tujuan itu kerana kita diciptakan sebagai khalifah. Membantu manusia adalah tanggungjawab kita agar tak menjadi sisa lebihan dunia. Seperti pesan al-akh Salim A Fillah: "Carilah pahala dalam bekerja, bukan rezeki!" Subhanallah.


Kembali kepada kisah Aisyah. Dia perempuan zaman moden yang hebat. Dia sanggup hidup di kawasan pedalaman yang majoriti perempuan tidak akan sanggup. Tiada elektrik, tiada line apalagi wifi. Malah berlaku kemarau di desa yang sudah gersang ibarat padang pasir itu. Bertambah-tambah ujian apabila muridnya menolak untuk diajar hanya kerana Aisyah seorang muslim.

Bersama kesusahan pasti ada kesenangan. Aisyah tidak sendiri kerana Allah menghantar pertolongan untuknya setiap kali lemah. Bermula dari ketua desa yang baik hati membantunya meskipun berlainan agama. Di pertengahan kisah ini, Aisyah berhasil meyakinkan muridnya bahawa setiap agama mengajarkan kebaikan. Tidak ada agama yang menganjurkan para pengikutnya untuk saling membenci.


Persaudaraan yang baik antara Aisyah dan penduduk kristian desa itu mengingatkan saya dengan Lichiey. Seorang biarawati dari Indonesia yang saya temui dalam perjalanan dari Jakarta ke Rome. Sejak dari pertama kali bertemu, kemesraan sudah terasa. Kami berjalan bersama-sama di setiap transit. Persahabatan kami sangat baik sampai ada yang menjeling-jeling. Akhlaknya menyenangkan hati. Kami malah saling toleransi dan memahami. 

"Pertemuan kita sebentar, tapi rasa sangat erat. Semoga silaturahim kita berpanjangan." Kata Lichiey di akhir pertemuan kami. Pengalaman bertemu dan bersalam dengan biarawati senior juga adalah pengalaman baru. Jika daie ada syeikh, maka itulah 'syeikh' mereka saya kira.

Filem ini mengajarkan kita menyingkapi perbezaan. Bukan hanya mengenali, tapi juga mengakui perbezaan tersebut. Perbezaan kalau dihadapi dengan benar, maka akan lahir kesatuan. Akhlak penduduk desa itu sangat menyentuh hati. Mereka sanggup mengumpulkan wang untuk diberi pada Aisyah, yang tidak cukup wang untuk pulang menyambut lebaran. Malah sanggup mengambilkan air bersih untuk Aisyah mengambil wuduk.

Tidak dinafikan, kelebihan Aisyah dalam kemahiran sosial dan komunikasi telah menyebabkannya berjaya menambat hati penduduk desa itu. Inilah antara elemen penting yang perlu ada pada diri seorang pendakwah. Mahu lebih lanjut bacalah buku Abbas As sisi, Bagaimana Menyentuh Hati.



Filem ini masih bertemakan pendidikan. Seperti juga filem Little Big Master yang pernah saya tuliskan sebelum ini. Mengapa menjadi pendidik itu berbaloi? Kerana kita bukan hanya mendidik, tetapi membina manusia dan mengubah gelap kepada cahaya. Seperti perubahan yang berlaku kepada Lordis Defam, anak murid yang paling membenci Aisyah. 

"Ya Allah, jadikanlah kami cahaya-Mu yang memberi kebaikan di mana jua kami berada dan pergi. Kami redha menjadi alat bagi mencapai kehendak-Mu." Amin..

Konklusinya, saya bagi 5 stars kepada filem ini!

19 Julai 2017
9.25pm
Nilai 
Share:

0 comments:

Post a Comment

UmmuZayd

UmmuZayd
"UmmuZayd"
Inspirasi dari surah Al-Ahzab ayat 37
Zayd; nama yang pernah bersatu dengan patah perkataan Al-Quran
Zayd; nama yang terus kekal dituturkan makhluk yang membaca Al-Quran
Aku ingin menjadi Ummu Zayd
Ibu kepada insan-insan mulia ahlul Quran

Amin Ya Rabb

*Blog Ummuzayds telah bermula pada tahun 2009, dengan nama nursrikandislam, heartofsrikandi dan terkini lebih matang, ummuzayds. Enjoy your reading! ;)

Popular Posts

"umi, kami selongkar dunia maya
dan temukan catatan umi di sana"

-Anak-Anak UmmuZayd-

"Cita-cita ku adalah menginspirasi jutaan orang
meski mereka tak mengenalku,
biarlah Allah yang menilai kerja-kerjaku"

Categories